Taubat

Pengajian Kitab: Fasal Taubat

Setiap amalan dalam Islam mempunyai syarat dan rukun. Jika sesuatu syarat atau rukun tidak sempurna maka begitulah ibadah atau amalan tersebut, sama ada menjadi tidak sempurna atau lebih parah lagi menjadi tidak sah atau batal, justru menjadi sia-sia, menjadi ‘haba-an mantsura’ (debu-debu berterbangan).
Taubat yang merupakan satu ibadah dan amalan yang dihukumkan wajib bagi orang yang berdosa dan sunnat bagi yang tidak berdosa. Jadi tengok le diri, kalau rasa tak berdosa, dihukumkan taubat itu sunnat, tapi kalau banyak dosa, wajiblah bertaubat. Mari kita telaah kitab “Sullamul Mubtadie” di tepi “Kifayatul Muhtadie” mukasurat 370 371 berhubung hal taubat ini.
Matan Kitab:
  • (Fasal) Dan wajib taubat itu bagi orang yang mengerjakan dosa itu bersegera atas tiap-tiap orang yang mukallaf iaitu menyesal daripada pekerjaan yang ia mengerjakan dia daripada dosanya dan meninggalkan ia daripada demikian dosanya dengan ikhtiarnya dan mencita ia atas tiada hendak kembali kepadanya selama-lama, maka ia benci akan yang demikian itu seperti akan racun dan akan api dan serta ia membanyakkan mengucap istighfar dan jika adalah dosanya itu meninggalkan fardhu maka hendaklah segera mengqadhakan dia, maka tiada harus ia mengerjakan amal yang sunnat dan mengerjakan pekerjaan yang lain daripada mengqadhakan dia melainkan kerana menuntut akan kehidupannya dan makan dan minum dan qadha hajat dan tidur apabila sangat mengantuk, maka yang lain daripada itu tiada harus ia mengerjakan melainkan duduk mengqadhakan dia. Atau ada dosanya itu ada sangkutan hak manusia maka hendaklah ia kembali akan empunyanya. Jika ambil harta orang atau ia mengumpat – ngumpat orang maka hendak ia minta halal daripadanya atau membunuh atau meluka, maka hendaklah menyerahkan dirinya baginya atau membayar diatnya atau ia minta halalkan dan minta redhakan dia dan jika tiada ada lagi orang yang ia zalim atau orang yang ia khianat akan dia maka dibuat kebajikan dan disedekahkan dia meniatkan pahalanya bagi empunyanya dan membanyak akan taubat kepada Allah bahawa diredhai ahlinya pada hari Kiamat dan membanyakkan amal dan mendoakan empunyanya mudah-mudahan ia redhakan dia pada hari Kiamat.

Taubat 1

Matan:-

(Fasal) Dan wajib taubat itu bagi orang yang mengerjakan dosa itu bersegera atas tiap-tiap orang yang mukallaf.

Syarah:-

Yakni kewajipan bertaubat itu adalah bagi orang yang mengerjakan dosa tersebut dan kewajipan ini hendaklah dilakukan dengan bersegera atas setiap orang mukallaf, yakni yang aqil baligh. Ini adalah kerana orang yang beriman apabila melakukan dosa dan maksiat rasa berdosa dan bersalah akan terus wujud kerana sekurang-kurang nafsu orang beriman ialah nafsu lawwamah, iaitu nafsu yang mencela dirinya sendiri apabila melakukan dosa dan maksiat. Sepakat ulama tasawwuf dan fuqaha mewajibkan orang yang melakukan dosa bertaubat dari dosanya dan ianya hendaklah dilakukan dengan segera. Menangguh-nangguhkan taubat merupakan satu lagi dosa yang memerlukan kepada taubat yang lain pula. Oleh itu setiap kali kita terjerumus dalam dosa dan maksiat, maka teruslah bertaubat kepada Allah. Dan di sinilah peranan dan pentingnya ilmu yang memberi panduan mengenai dosa dan maksiat, kerana berapa ramai orang yang melakukan dosa dan maksiat tidak bertaubat atau tidak merasa berdosa kerana dia tidak tahu apa yang dilakukannya itu sebagai satu dosa dan maksiat kepada Allah.
Matan:-
  • iaitu menyesal daripada pekerjaan yang ia mengerjakan dia daripada dosanya
Syarah:-
Syarat taubat yang pertama ialah “an-nadam“, iaitu menyesal atas keterlanjurannya melakukan dosa tersebut. Sebagaimana dinyatakan tadi, orang beriman sentiasa menyesal setiap kali melakukan dosa dan maksiat. Ini adalah kerana wujudnya iman dalam hatinya. Mungkin kerana imannya walaupun wujud tetapi masih lemah, maka dia masih terjerumus dalam dosa dan maksiat. Tetapi bezanya dengan orang yang tidak punya iman ialah dia walaupun berdosa menyesali akan dosanya tersebut berbanding yang tidak beriman. Penyesalan ini amat penting kerana ianya akan membawa orang tersebut kepada kesempurnaan taubatnya. Dalam riwayat dinyatakan bahawa Junjungan s.a.w. bersabda bahawa “Taubat itu adalah penyesalan“, dan dalam riwayat lain dinyatakan bahawa “Setiap anak Adam itu melakukan dosa, dan sebaik-baik pelaku dosa adalah yang bertaubat dari dosanya.” Tetapi kerana kurangnya kesedaran ilmu, maka sekarang orang melakukan maksiat tanpa rasa berdosa kerana dia tidak beranggapan ianya dosa. Ada orang yang berzina, tetapi tidak merasa berdosa kerana katanya dia berzina kerana suka sama suka dan kerana masing-masing ikhlas antara satu sama lain. Allahu …. Allah, dunia dah nak terbalik, manusia sudah songsang, bukan berbicara ikhlas dalam sholat, tetapi ikhlas dalam berzina. Begitu juga dalam bab-bab lain, manusia sudah tidak gemar pada ilmu-ilmu agama, mereka lebih tahu kesalahan lalu lintas berbanding kesalahan dalam hukum syarak. Bagaimana Allah nak beri bantuan kepada umat yang sebegini ????? Lihat sahaja para penganas yang mengganas atas nama Islam, membunuh secara membabibuta tak kira siapa mangsanya, hatta yang seagama pun menjadi mangsa, tidakkah mereka merasa perbuatan mereka tersebut MAKSIAT kepada Allah ? Sudah tentu tidak kerana itu mereka berbuat sedemikian. Sedangkan menurut fuqaha muktabar Ahlus Sunnah wal Jamaah, perbuatan membunuh orang tanpa hak adalah dosa besar. Justru ikhwah sekalian, selain kesalahan duniawi kena telaah dan belajar hukum halal haram dalam Islam, mari duduk depan tuan-tuan guru yang mengajar berpandukan kitab ulama terdahulu untuk mengetahui hal ini. Antara kitab yang elok untuk kita telaah dalam bab ini ialah kitab “al-Kabair” karangan Imam az-Zahabi dan kalau nak yang lebih luas bahasannya kitab “az-Zawajir” karangan Imam Ibnu Hajar al-Haitami. Kalau tak silap kitab “al-Kabair” tersebut sudah ada terjemahannya dalam bahasa Melayu. Allahu a’laam.

Inilah matan kitab tersebut. Untuk makluman, kitab ini merupakan karangan Mawlana al-‘Alim al-‘Aamil al-‘Allamah al-Kaamil asy-Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni yang masyhur itu. Dan kitab ini juga telah diberi syarah oleh Syaikh Muhammad Nur bin Muhammad bin Ismail Daud al-Fathoni dengan jodol “Kifaayatul Muhtadie pada menerangkan cahaya Sullamul Mubtadie”. Syaikh Muhammad Nur adalah anak kepada Syaikh Muhammad al-Fathoni atau gelarannya Syaikh Nik Mat Kecik pengarang “Mathla`ul Badrain” yang masyhur yang merupakan anak saudara dan anak angkat bagi Syaikh Daud al-Fathoni. Harap fahami matan kitab di atas dan insya-Allah, kita syarahkan nanti sekadar mampu dan keizinan Allah yang Esa.

Taubat 2

Matan:-
  • ” dan meninggalkan ia daripada demikian dosanya dengan ikhtiarnya “
Syarah:-
Rukun seterusnya bagi seorang yang bertaubat ialah hendaklah dia tatkala bertaubat tersebut meninggalkan dosa dan maksiatnya itu dengan ikhtiarnya sendiri, yakni dengan pilihannya sendiri. Di sini terdapat 2 perkara pokok yang perlu difahami, (i) meninggalkan dosa; dan (ii) dengan ikhtiarnya. Bukan dinamakan orang bertaubat yang sewaktu bertaubat masih melakukan dosa yang ditaubatnya. Dan begitu juga orang yang meninggalkan maksiat kerana terpaksa, bukan kerana pilihannya sendiri demi menjunjung perintah Ilahi tidaklah dianggap sebagai sempurna taubatnya.
Sekarang kita lihat, ada segelintir manusia yang masih berselera dengan dosa dan maksiat, bahkan berbangga-bangga dengan dosa dan maksiat, cuma oleh kerana sudah uzur atau sudah tua, maka maksiat tersebut ditinggalkannya. Maka jadilah dia meninggalkan dosa dan maksiat kerana faktor tersebut, bukan kerana menjunjungan perintah Allah, dia meninggalkan dosa bukan kerana keinsafan dan pilihannya sendiri, tetapi meninggalkan dosa kerana tak larat lagi nak buat dosa tersebut sedangkan hatinya masih suka dengan dosa tersebut, maka hal taubat sebegini menurut ulama tidak sempurna dan dikhuatiri tak sah di sisi Allah s.w.t. Inilah sebabnya, Mawlana Syaikh Daud menegaskan syarat ini dengan kalimah “….dengan ikhtiarnya“. Demikian juga orang yang dipaksa bertaubat, lalu dia pun bertaubat kerana takut dihukum manusia, maka taubatnya itu hanya sah di mata manusia sedangkan di sisi Allah ta`ala, tidak dinamakan taubat. Ketahuilah dengan sebaiknya, agar kita faham bahawa kesempurnaan taubat itu hendaklah datang dari pilihan dan kesedaran kita sendiri setelah disuluh cahaya hidayah dan taufiq daripada Allah s.w.t. Allahu a’laam

Taubat 3

Matan:-
  • “dan mencita ia atas tiada hendak kembali kepadanya selama-lama, maka ia benci akan yang demikian itu seperti akan racun dan akan api “

Syarah:-

  • Seseorang yang bertaubat dengan sebenarnya, maka tatkala bertaubat tersebut langsung tidak teringat atau teringin bahkan terlintas untuk kembali membuat dosa yang ditaubatkan itu selama-lamanya. Bahkan timbul rasa benci kepada maksiat tersebut seperti seseorang yang bencikan racun yang membinasakan atau benci dihumban ke dalam api neraka. Kerana hakikat kesudahan dosa dan maksiat itu membawa seseorang ke dalam siksaan neraka. Dosa dan maksiat yang merupakan penyakit batin adalah lebih bahaya daripada sakit zahir seumpama kanser, kalau seorang menghidap kanser paling teruk kesudahannya ialah mati, tapi dosa dan maksiat jika tidak diampun oleh Allah akan membawa pelakunya ke neraka, dan ingatlah bahawa azab neraka itu teramatlah pedih dan masa di sana teramatlah panjang. Adakah kekuatan kita nak menanggungnya nanti ??? Allahu…Allah. Tuhanku aku tak layak untuk Syurga FirdausMu, tetapi aku tak tahan menanggung siksa nerakaMu, oleh itu ampunkanlah aku terimalah taubatku, sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa besar.

Seseorang yang mengaku bertaubat tetapi dosa masih terasa manis di sisinya, maka ketahuilah bahawa taubatnya belum cukup sempurna. Ada riwayat dalam hadits qudsi Allah ta`ala berfirman kepada Nabi Musa a.s. mengenai pertanyaan Nabi Musa tentang taubat seorang umatnya yang tidak dikabulkan Allah, maka Allah menjawabnya: “Bagaimana aku nak menerima taubatnya sedangkan hatinya masih melekat kepada dosa tersebut”. Allahu a’laam.

Taubat 4

Matan:-

  • “…..dan serta ia membanyakkan mengucap istighfar. “

Syarah:-

Kesempurnaan taubat itu daripada hati yang tulus ikhlas terlancar ke lidah ucapan istighfar memohon keampunan Allah ta`ala. Junjungan s.a.w. seorang yang ma’sum menyatakan bahawa baginda mengucapkan istighfar 100 kali sehari. Maka insan kerdil dan banyak dosa seperti kita hendaklah berlebih lagi. Istighfar yang diucapkan biarlah betul-betul mencerminkan keinsafan hati kita. Ucapkanlah “Rabbirgh fir li” atau sebagainya. Tetapi hendaklah diingat bahawa ucapan istighfar yang hanya ditanam di bibir mulut tanpa berakar daripada hati kesannya jika pun ada amatlah minima. Tetapi janganlah cepat berputus asa, istighfar di lidah lebih baik daripada langsung tidak beristighfar. Insya-Allah, mudah-mudahan taubat lisan akan menembusi hati. Ingatlah bahawa titisan air yang terus menerus menimpa batu akan melekukkannya. Allahu a’laam.

Taubat 5

Matan:-

  • “…dan jika adalah dosanya itu meninggalkan fardhu maka hendaklah segera mengqadhakan dia, maka tiada harus ia mengerjakan amal yang sunnat dan mengerjakan pekerjaan yang lain daripada mengqadhakan dia melainkan kerana menuntut akan kehidupannya dan makan dan minum dan qadha hajat dan tidur apabila sangat mengantuk, maka yang lain daripada itu tiada harus ia mengerjakan melainkan duduk mengqadhakan dia…..”

Syarah:-

  • Jika dosa yang dilakukan merupakan maksiat meninggalkan kefardhuan atau kewajipan terhadap Allah, maka hendaklah orang yang bertaubat itu mengqadhakan fardhu yang ditinggalkannya dengan segera, jika kefardhuan tersebut ditinggalkan dengan sengaja tanpa keuzuran. Perlu diingat bahawa kejahilan tentang hukum hakam tidak termasuk keuzuran secara lazimnya. Maka hendaklah orang bertaubat tersebut menebus kembali fardhu yang ditinggalkannya dengan taubat dan qadha. Inilah pendapat jumhur ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah daripada 4 mazhab. Inilah pendapat yang sewajarnya diikuti kita, inilah fatwa Imam an-Nawawi, Ibnu Hajar dan lain-lain ulama besar mazhab kita. Jangan terpengaruh dengan fatwa – fatwa zaman sekarang kaum muda atau lebih tepat kaum mudah yang suka bermudah-mudah dalam urusan agama, yang menyandarkan pendapat mereka kepada fatwa minoriti ulama Zahiri.
  • Seterusnya dinyatakan bahawa orang yang bertaubat dari maksiat meninggal fardhu tanpa uzur disyaratkan menggunakan segala masa dan kelapangannya untuk mengqadha fardhunya tersebut dan tidak dibenarkan dia mengerjakan amalan-amalan sunnat. Inilah qawl asah dalam mazhab kita, sedangkan qil mengatakan tidak perlu bersegera. Bahasan hal ini telah kita buat dahulu, silalah rujuk lagi.

Taubat 6

Matan:-

  • “…Atau ada dosanya itu ada sangkutan hak manusia maka hendaklah ia kembali akan empunyanya. Jika ambil harta orang atau ia mengumpat – ngumpat orang maka hendak ia minta halal daripadanya atau membunuh atau meluka, maka hendaklah menyerahkan dirinya baginya atau membayar diatnya atau ia minta halalkan dan minta redhakan dia..”

Syarah:-

Jika dosa atau maksiat dilakukan bersangkut paut dengan hak manusia, maka kesempurnaannya ialah dengan dikembalikan balik hak orang tersebut, atau mintak halal. Jika membunuh orang atau mencederakan orang maka hendaklah menyerah diri kepada orang yang dicederai atau waris orang yang dibunuh agar dapat dijalankan hukuman qisas atau mintak halal atau dibayar diat.

Matan:-

  • “…dan jika tiada ada lagi orang yang ia zalim atau orang yang ia khianat akan dia maka dibuat kebajikan dan disedekahkan dia meniatkan pahalanya bagi empunyanya dan membanyak akan taubat kepada Allah bahawa diredhai ahlinya pada hari Kiamat dan membanyakkan amal dan mendoakan empunyanya mudah-mudahan ia redhakan dia pada hari Kiamat.”

Syarah:-

Jika orang yang dizalimi tersebut telah tiada dan warisnya tidak diketahui, maka hendaklah orang yang bertaubat daripada kezalimannya itu memperbanyak membuat kebajikan dan bersedekah yang pahalanya dihadiahkan kepada orang yang kena zalimnya itu serta mendoakan orang tersebut. Kerana sesuatu hutang kezaliman yang tidak dijelaskan di dunia sewaktu hidup nescaya akan dituntut di akhirat dan nanti bukan wang ringgit yang digunakan untuk membayarnya melainkan pahala kebajikan kita. Mudah-mudahan dengan banyak bersedekah dan membuat kebajikan yang pahalanya ditujukan kepada orang yang kena zalim tersebut akan redhalah ia melepaskan tuntutannya atas si penzalim yang bertaubat itu. Dan mudah-mudahan dengan kesungguhannya bertaubat dan beramal sholeh Allah akan menjadi penanggung baginya atas tuntutan orang yang kena zalim tersebut. Allahu a’laam.