Pesanan Pengendali Blog kepada Semua Ahli Ilmu
Imam Ibnu Asakir, Imam al-Khatib dan Imam al-Hafiz al-Mizzi meriwayatkan sebuah hadis yang berbunyi:
“Apabila akhir umat ini melaknat (generasi) awalnya, maka hendaklah orang-orang yang mempunyai ilmu pada ketika itu menzahirkan ilmunya, sesunggunya orang yang menyembunyikan ilmu pada waktu tersebut seumpama seseorang yang menyembunyikan apa yang telah diwahyukan kepada (Sayyidina) Muhmammad SAW!!!”
Maka apabila lahir golongan yang mencaci dan melaknat para ulama’ empat mazhab terdahulu yang mengikut generasi Salafus Soleh, maka apakah yang telah kita lakukan???
Kebathilan Tauhid Tiga T (Siri 1)
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam,
Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, rahmat ke seluruh alam,
Juga kepada ahli keluarga dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;
1. Baru-baru ini, penulis menerima SMS daripada seorang rakan di sebuah negeri di Utara Malaysia yang meminta agar penulis menerangkan serba sedikit mengenai “Tawassul”. Sememangnya ini adalah satu bab yang telah banyak diabaikan di dalam pengajian agama Islam pada hari ini sehingga ramai yang tidak jelas tentang perkara ini.
2. Maka penulis menyambut baik permintaan kawan penulis tersebut dan penulis akan berusaha untuk memperjelaskan bab ini dengan merujuk karangan para ulama’ Islam walaupun penulis bukanlah orang yang paling layak untuk menerangkan bab yang panjang lebar ini.
3. Namun begitu, penulis akan membincangkan terlebih dahulu kepincangan konsep Tauhid Tiga T sepertimana yang telah penulis nyatakan dulu. Perbincangan berkenaan dalil-dalil al-Sunnah mengenai kebenaran “Keikhlasan Kerana Allah Semata-mata” akan diusahakan apabila masanya sesuai. Lebih-lebih lagi, ia sebenarnya adalah topik yang mudah, hanya dijadikan isu oleh pihak yang menolak kebenaran di hadapan mata.
Perbincangan Mengenai
Kebathilan Tauhid Tiga
4. Sebelum kedatangan Ibnu Taymiyyah, pembahagian Tauhid Tiga ini langsung tidak dikenali di dalam kitab-kitab Usuluddin karangan para ulama’ Islam. Usaha-usaha yang dibuat oleh golongan Wahhabi bahawa Tauhid Tiga ini adalah pegangan Salafus Soleh adalah merupakan satu bentuk “takalluf” (usaha yang dibuat-buat) serta “istighlal” (eksploitasi/penyelewengan makna) kalam para Salafus Soleh.
5. Mereka mengekploitasi perkataan “Rububiyyah” dan “Ilahiyyah” dan “Al-Asma” dan “Al-Sifat” yang ada dijumpai di dalam karangan atau kata-kata para Salafus Soleh dan dengan mudahnya mendakwa golongan Salafus Soleh berpegang dengan Konsep Tauhid Tiga mereka.
6. Bagi menyokong dakwaan palsu mereka, mereka mula menulis kitab-kitab yang mempunyai tajuk seperti Akidah Imam al-Shafie, Akidah Imam Empat Mazhab, Akidah Si Fulan, dan sebagainya. Maka sebenarnya mereka hanyalah:
يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَنْ مَوَاضِعِهِ
Mengubah kata-kata para ulama’ daripada makna yang sahih kepada makna yang sesuai dengan fahaman mereka.[Astaghfirullah]
7. Mana-mana kata para ulama’ yang tidak dapat mereka ubah atau tafsir mengikut selera mereka, maka mereka akan membuang atau mengubah kata-kata para ulama’ tersebut.
[Sebenarnya, kita boleh buat satu penyelidikan dan penulisan yang panjang lebar tentang penyelewengan golongan Wahabi terhadap kitab yang ditahqiq dan diterbitkan oleh mereka. Rujuk Risalah Sheikh Yusuf al-Rifa’i yang diletakkan Muqaddimahnya oleh Sheikh Muhammad Saed Ramadhan al-Bouthi tentang sebahagian penyelewengan ini].
8. Dalam satu majlis dialog di antara Dr. Umar Kamel serta ahli majlis fatwa Johor dan beberapa hadirin yang hadir, seorang ahli akademik dari negara Arab tidak bersetuju dengan penolakan Dr. Umar Kamel terhadap konsep Tauhid Tiga. Dia pun menyatakan bahawa di dalam al-Quran terdapat Tauhid al-Asma dan al-Sifat serta tauhid-tauhid yang lain.
9. Dengan jelas, Dr. Umar Kamel menyatakan bahawa TAUHID ITU SATU SAHAJA, KITA MENTAUHIDKAN ALLAH DENGAN ZATNYA, SIFATNYA, ASMA’(NAMA-NAMA)NYA DAN AF’AL(PERBUATAN)NYA. TAUHID ITU SATU JUA.
قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ
“KATAKANLAH OLEH-MU (WAHAI MUHAMMAD): DIA-LAH ALLAH (TUHAN) YANG ESA.”
KALAU DIPISAHKAN BAHAWA TAUHID ZAT ITU LAIN, TAUHID SIFAT ITU LAIN, TAUHDI ASMA’ ITU LAIN, TAUHID ALLAH SEBAGAI RABB (TAUHID RUBUBIYYAH) ITU LAIN DAN TAUHID ALLAH SEBAGAI ILAH (TAUHID ULUHIYYAH) ITU LAIN, MAKA TERGAMBAR DI FIKIRAN ORANG RAMAI TENTANG TA’ADDUD AL-QUDAMA’ (SEOLAH-SEOLAH YANG QADIM ITU (ALLAH) BERBILANG-BILANG ATAU BERJUZU’-JUZU’ DAN TERDIRI DARIPADA BEBERAPA BAHAGIAN DAN SETIAP BAHAGIAN BERHAJAT KEPADA SATU TAUHID YANG BERBEZA DARIPADA TAUHID YANG LAIN).
[Begitulah lebih kurang kandungannya]
Kami berlindung dengan Allah SWT daripada kesalahan dan kesesatan di dalam aqidah.
[Pengenalan: Dr. Umar Kamel adalah adik kepada Sheikh Soleh Kamel yang tergolong daripada kalangan keluarga yang dihormati di Saudi. Sheikh Soleh Kamel ialah Pengerusi kumpulan perbankan Dallah al-Barakah. Sheikh Soleh Kamel ada membiayai sebuah pusat ekonomi Islam di Universiti Al-Azhar yang dikenali sebagai Markaz Soleh Kamil li al-Iqtisad al-Islami – Pusat (Kecemerlangan) Soleh Kamel bagi Ekonomi Islam. Bahkan, Islamic Economic Research Centre di Universiti Raja Abdul Aziz juga diasaskan oleh beliau.
Sheikh Dr. Umar Kamel juga adalah salah seorang yang berusaha membawa Universiti Al-Azhar ke Malaysia yang – Insya-Allah – akan dimulakan operasinya di Rembau di masa akan datang. Untuk mengenali beliau dengan lebih lanjut, sila klik di sini.
Bersambung akan datang:
PERKATAAN “RABB” DAN “ILAH” DI DALAM NAS SHARIAT: ADAKAH BOLEH DIPISAHKAN?
Berikut adalah sebahagian daripada terjemahan kami bagi Fatwa yang telah dikeluarkan oleh Pusat Fatwa Mesir berkaitan kesesatan Pembahagian Tauhid ala Taymiyyah dan Wahhabiyyah. Oleh kerana fatwanya agak panjang maka kami pilih yang sesuai dan bagi sesiapa yang boleh berbahasa Arab, silalah merujuk ke:
http://www.dar-alifta.org/ViewFatwa.aspx?ID=6623
TERJEMAHAN:
“Dan pembahagian Tauhid kepada Uluhiyyah dan Rububiyyah adalah daripada pembahagian yang baru yang tidak datang daripada generasi Salafus Soleh. Dan orang pertama yang menciptanya – mengikut pendapat yang masyhur – ialah Sheikh Ibnu Taymiyyah (semoga Allah merahmati beliau),…
Melainkan beliau membawanya kepada had yang melampau sehingga menyangkakan bahawa Tauhid Rububiyyah semata-mata tidak cukup untuk beriman, dan bahawa sesungguhnya golongan Musyrikin itu bertauhid dengan Tauhid Rububiyyah dan sesungguhnya ramai daripada golongan umat Islam daripada Mutakallimin (ulama’ tauhid yang menggabungkan naqal dan aqal) dan selain daripada mereka hanyalah bertauhid dengan Tauhid Rububiyyah dan mengabaikan Tauhid Uluhiyyah.
Dan pendapat yang menyatakan bahawa sesungguhnya Tauhid Rububiyyah sahaja tidak mencukupi untuk menentukan keimanan adalah pendapat yang bid’ah dan bertentangan dengan ijma’ umat Islam sebelum Ibnu Taymiyyah…
Dan pemikiran-pemikiran takfir ini sebenarnya bersembunyi dengan pendapat-pendapat yang rosak ini dan menjadikannya sebagai jalan untuk menuduh umat Islam dengan syirik dan kufur dengan menyandarkan setiap kefahaman yang salah ini kepada Sheikh Ibnu Taymiyyah (semoga Allah merahmatinya) adalah daripada tipu daya dan usaha menakutkan yang dijalankan oleh pendokong-pendokong pendapat luar (yang bukan daripada Islam ini) untuk mereka memburuk-burukkan kehormatan umat Islam.
Dan inilah sebenarnya hakikat mazhab golongan Khawarij dan telah banyak nas-nas Syariat menyuruh agar kita berhati-hati daripada terjebak ke dalam kebathilannya.”
Kesimpulannya:
- Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah tidak boleh terpisah.
- Pembahagian atau pemisahan ini mula dilakukan oleh Ibnu Taymiyyah.
- Pembahagian tauhid seperti ini bukanlah pembahagian yang bersesuaian dengan tauhid generasi Salafus Soleh.
- Menyatakan bahawa Tauhid Rububiyyah sahaja tidak cukup untuk menentukan keimanan seseorang yang beriman adalah bertentangan dengan ijma’.
- Fitnah takfir (kafir-mengkafir) yang timbul daripada pembahagian tauhid seperti ini adalah hakikat mazhab Khawarij (seperti mengkafirkan orang yang bertawassul).
Wassalamu ‘alaikum.
Sejahteralah ke atas mereka yang mengikut petunjuk daripada Tuhannya.
http://al-ashairah.blogspot.com/
Filed under: Sheikh Dr. Umar Kamel : Kebathilan Tauhid Tiga Versy wahaby | Tagged: Sheikh Dr. Umar Kamel : Kebathilan Tauhid Tiga Versy wahaby | Leave a comment »
You must be logged in to post a comment.