Menjawab Tuduhan No. 2: Beramal bukan kerana mahukan Syurga dan jauhi Neraka itu Boleh [Siri 1]

Menjawab Tuduhan No. 2: Beramal bukan kerana mahukan Syurga dan jauhi Neraka itu salah?! [Siri 1]

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh;

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam,

Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, rahmat ke seluruh alam,

Juga kepada ahli keluarga dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;


1. Adakah beramal bukan kerana mahukan Syurga atau menjauhi Neraka dan hanya semata-mata kerana Allah itu bertentangan dengan Shariat?


“Sebenarnya ini adalah soalan yang sangat mudah untuk dijawab walaupun oleh orang yang mempunyai pengetahuan yang sangat asas dalam ilmu aqiqah, fiqh dan tasawwuf. Kitab-kitab tasawwuf, khasnya, telah membicarakan hal ini dengan panjang lebar.


Namun, tuduhan ini perlulah dijawab dengan memberikan dalil-dalil agar golongan yang sering bertanyakan dalil [walaupun dalam banyak keadaan mereka tidak mengetahui hakikat dalil dan syarat-sayaratnya] dapat didiamkan daripada terus “berlagak” seumpama ulama’.”


2. Bagi menjawab tuduhan no. 2 ini, penulis membentangkan beberapa hakikat yang perlu difahami.


2.1 Manusia itu mempunyai berbagai-bagai darjat di sisi Allah, bukan semuanya sama, maka janganlah samakan orang awam dengan orang khawas serta khawas al-khawas.


Kita perlulah faham bahawa kedudukan/darjat manusia di sisi Allah berbeza mengikut ketakwaan mereka. Allah SWT berfirman:


“Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu ialah mereka yang paling bertakwa.”


2.2 Di antara kesilapan ramai orang masa kini ialah apabila mereka membaca kata-kata para ulama’ dan para ‘Arifin (orang-orang yang benar-benar mengenal Allah SWT), mereka menilai kebenaran kata-kata tersebut dengan perspektif atau pandangan mereka, sedangkan mereka itu berada di peringkat orang awam.


2.3 Ia samalah juga seperti orang di zaman purba yang mendengar kisah cerita orang zaman Moden mengenai objek besi yang beratnya beratus atau beribu tan boleh terbang di udara dan terapung di atas air. Pastinya orang purba tersebut kebingungan lantas menuduh orang zaman Moden itu sebagai: “Gila”, “Tukang Karut”, “Ahli Khurafat”, dan lain-lain. Sedangkan, betapa jauh perbezaan ilmu di antara mereka berdua.


2.4 Sebab itulah para ulama’ ada menyatakan bahawa:

حسنات الأبرار، سيئات المقربين


“Apa yang dianggap baik oleh orang-orang baik (abrar) dianggap sebagai satu keburukan/kejahatan oleh orang-orang muqarrabin (yang hampir kepada Allah SWT”.


2.5 Di sini, penulis memberikan satu contoh yang sangat mudah – Insya-Allah – untuk difahami oleh para pembaca.


[Hukum berzikir sama ada dengan lisan, hati, roh dan sirr dalam setiap nafas/masa/waktu].


Mengikut para ustaz yang terkongkong ilmu mereka di dalam amalan agama yang zahir dan terhijab daripada amalan agama bathin (malakut, dll):


Hukum berzikir secara umumnya adalah sunat. Ianya menjadi wajib di dalam keadaan tertentu sahaja. Dalam banyak keadaan, berzikir itu dilihat sebagai sunat muakkad atau sunat sahaja seperti zikir selepas solat, waktu-waktu tertentu dan waktu umum. Maka mereka memandang zikrullah itu sebagai satu tuntutan tambahan yang tidak wajib. Zikrullah dianggap sebagai satu kelebihan.


Maka sebab itulah sebahagian para ulama’ tarikat/sufi menasihati anak murid mereka agar tidak terpedaya dengan ustaz-ustaz begini agar anak muridnya itu tidak mengganggap zikrullah itu satu perkara yang ringan.


Bagi para mashayeikh tarikat/sufi dan ‘Arifin, berzikir itu ibarat nyawa, tidak boleh terlepas walaupun satu nafas atau detik atau saat. Mereka melihat zikir itu sebagai kewajipan dan sebagai maksud kehidupan ini walaupun mereka mungkin berbeza dalam kayfiyyat/kaedah berzikir tersebut. Dengan kata lain, apabila tidak berzikir [bagi para mashayeikh tarikat/sufi dan ‘Arifin], mereka merasakan dunia ini gelap dan mereka ibarat layang-layang yang putus talinya.


Bagi seorang ustaz yang hanya mengambil berat amalan agama yang zahir, zikrullah itu adalah sunat, sedangkan bagi seorang ‘Arif billah yang mengambil berat amalan agama yang zahir dan batin, zikrullah itu adalah wajib.


Komen tambahan penulis:

Pada zaman sekarang ini, ada golongan manusia bertopengkan agama Allah, al-Quran dan al-Sunnah (seumpama Wahhabi) memerangi amalan zikrullah atas alasan bid’ah. Tanpa mereka sedari mereka sebenarnya memerangi al-zakirunallah kathiran (golongan ahli zikir yang banyak berzikir kepada Allah) dan memerangi lafaz-lafaz tauhid, istighfar, tilawah, doa-doa dan selawat. Kata guru penulis, orang yang sebegini adalah “PANGLIMA SYAITAN” [Bahasa yang keras dan kasar pada zahirnya, namun penuh makna]. Mereka menjauhkan manusia daripada agama atas nama agama. Wal-‘iyadhubillah [Perlindungan itu hanyalah dengan Allah semata-mata].


2.6 Sebahagian pembaca mungkin terkejut dengan perumpamaan ini, namun jawapan penulis bagi mereka yang merasa sedikit terkejut ialah:

“Sesiapa yang pernah merasai nikmat zikrullah akan merasa bersalah/berdosa di dalam hati mereka apabila mereka berada di dalam keadaan lalai.”


2.7 Maka sebab itulah pengertian taubat juga berbeza di kalangan orang awam dan orang khawas dan khawas al-khawas. Dan di antara taubat orang-orang khawas dan khawas al-khawas ialah “Bertaubat daripada selain daripada Allah SWT”, termasuk nikmat Syurga dan azab Neraka.


Kalau kita semua tidak dapat memahami taubat di peringkat ini, “SO WHAT”? Apa yang hendak dihairankan? Kita semua ini adalah orang-orang awam, bahkan mungkin awamu-awami-awamil-awam (yang awam di kalangan awam yang awam di kalangan awam).


NAMUN,JANGANLAH KITA MENYALAHKAN PARA AWLIYA’ DENGAN ILMU KITA YANG SEKANGKANG KERA INI. NA’UZU BILLAHI MIN ZALIK.


2.8 Di sini, penulis nukilkan peringkat-peringkat taubat sepertimana yang diterangkan oleh al-Imam Abu al-Hasan ‘Ali Ibn Maymun al-Ghumari (W 917H) di dalam kitabnya “Risalah al-Ikhwan ila sa’ir al-buldan.”

Terjemahan:

“Ms. 20: Bagaimana untuk bertaubat dan kembali kepada Allah SWT

Maka apabila seorang mukmin itu beri’tikad (dengan yakin) bahawa dia diperintahkan untuk bertaubat, dia akan mengikut perintah Tuannya, dan meninggalkan syaitan dan hawa nafsunya, dan bersegera untuk kembali kepada Allah dengan:

meninggalkan dosa-dosa besar,

kemudian: [meninggalkan] dosa-dosa kecil,

kemudian: [meninggalkan] perkara-perkara makruh,

kemudian: [meninggalkan] perkara-perkara syubhat,

kemudian: [bertaubat] daripada kelalaian dalam ketaatan,

kemudian: [bertaubat] daripada melihat amalan dalam ketaatan,

kemudian: [bertaubat] daripada menuntut ganjaran-ganjaran yang segera dan kemudian, di dunia dan akhirat,

dan menunaikan segala hak-hak Allah [semata-mata kerana] kehambaan dan pengabadian,

dan bertaubat daripada melihat kepada selain daripada Allah, termasuklah kewujudannya,

bahkan daripada wujud itu sendiri.”


3. Rasanya, cukuplah sekadar ini dahulu, Inysa-Allah, pada Siri-2 akan datang, penulis akan mengemukakan dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah dan kata-kata para ulama’ mengenai “BERAMAL SEMATA-MATA KERANA ALLAH”.


Ya Allah! Kurniakanlah kami keikhlasan dan keimanan yang hakiki, semoga dengan kedua-duanya, kami dapat membersihkan amalan kami daripada syirik khafiyy (tersembunyi), dan melindungi iman kami daripada syirik yang jaliyy (terang-terangan).

http://al-ashairah.blogspot.com/

Advertisements