Tabarruk Imam Syafi`i – Khatib al-Baghdadi

Pihak yang menolak kisah tersebut seperti al-Albani juga tidak menafikan kedudukan dan status para perawi kisah tersebut adalah orang – orang kepercayaan selain daripada ” `Umar bin Ishaq bin Ibrahim” yang dikatakan sebagai seorang yang majhul (yakni yang tidak diketahui identitinya). Atas dasar tersebut maka al-Albani menghukumkan kisah tersebut sebagai dhaif bahkan batil. Rasanya penilaian kisah tersebut sebagai batil adalah satu penilaian yang terlampau kerana beliau gagal mempertimbangkan fakta yang para periwayat lain adalah mereka-mereka yang shaduq dan tsiqah. Sewajarnya perkara ini masuk dalam pertimbangan al-Albani sebelum menyatakan yang ianya batil.
Menurut penjelasan sebahagian ulama lain, ada kemungkinan ‘Umar bin Ishaq tersebut adalah `Amr bin Ishaq al-Himsi yang merupakan seorang yang diketahui dan boleh dipercayai. Jika ianya benar, maka tiadalah apa lagi kecacatan pada sanad yang dikemukakan oleh Imam Khatib tersebut. Selain daripada itu, perlu diberi perhatian juga bahawa kisah ini turut disampaikan melalui jalan lain, antaranya oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam karya beliau “al-Khairat al-Hisan” yang merupakan manaqib Imam Abu Hanifah pada fasal 35 halaman 129 dengan sanad yang shahih dan Imam Ibnu Abil Wafa menyebutkan kisah ini dalam “Tabaqat al-Hanafiyyah” pada halaman 519 dengan sanad lain melalui al-Ghaznawi. Tidak ketinggalan para ulama di masa kita ini turut memuatkan kisah ini dalam karya mereka, misalnya Imam Muhammad Zahid al-Kawthari membawa kisah ini dalam “Maqalat al-Kawthariy” pada halaman 453 dan mengatakan bahawa sanad kisah ini adalah bagus (jayyid). Mufti Muhammad Taqi Uthmani memuatkannya dalam karya beliau “Jahan-e-Deedah“, jika kisah tersebut dianggap sebagai batil, pasti Mufti Muhammad Taqi yang terkenal sebagai seorang ulama bermazhab Hanafi dengan aliran Deobandi tidak akan memuatkannya dalam karya beliau. Maka hendaklah kita berlapang dada, jangan terlalu taksub dengan pegangan kita sehingga menuduh pihak yang tidak sependapat dengan berbagai tuduhan yang keji. Tiada paksaan samada untuk menerima atau menolak kisah Imam asy-Syafi`i RA bertabarruk dengan Imam Abu Hanifah RA.
Filed under: Imam Syafi`i Shalat hajat 2 rekaat Tabarruk dengan Kubur Imam hanafi dalam Kitab Khatib al-Baghdadi | Tagged: Imam Syafi`i Shalat hajat 2 rekaat Tabarruk dengan Kubur Imam hanafi dalam Kitab Khatib al-Baghdadi | 1 Comment »