Lailatur Raghaib

Imam al-Qasthalani dalam “al-Mawaahibul Laduniyyah bi Minahil Muhammadiyyah“, juzuk 1, halaman 60-61 menulis:-
Telah berkata Sahl bin ‘Abdullah at-Tustari [yakni Abu Muhammad Sahl bin ‘Abdullah bin Yunus at-Tustari (200H – 283H) seorang ‘alim lagi sufi yang wafat di Bashrah] sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Hafiz al-Khathib al-Baghdadi [ yakni Abu Bakar Ahmad bin ‘Ali bin Tsabit al-Baghdadi (392h – 463H) seorang ahli tarikh dan ahli hadits bertaraf al-hafiz yang wafat di Baghdad] : “Tatkala Allah ta’ala berkehendak untuk menjadikan Junjungan Nabi s.a.w. di dalam perut bonda baginda, Siti Aminah, pada malam Jumaat di bulan Rajab, Allah pun memerintahkan malaikat Ridhwan penjaga syurga untuk membuka syurga Firdaus pada malam tersebut. Dan menyerulah penyeru di segala langit dan bumi: “Ketahuilah bahawasanya Nur yang tersimpan lagi terpelihara yang merupakan kejadian nabi yang membawa petunjuk, pada malam ini akan mengambil tempat dalam perut bondanya untuk menyempurnakan kejadian ciptaannya (yakni kejadian ciptaan jasad baginda yang mulia) dan keluar kepada manusia untuk membawa berita gembira dan memberi peringatan.”
Mari kita perbanyakkan ucapan sholawat dan salam ke atas Junjungan Nabi s.a.w. sempena bulan Rajab yang mulia, bulan di mana proses kejadian jasad baginda s.a.w. bermula dan akhirnya lahirlah baginda ke alam dunia setelah sempurna 9 bulan dalam kandungan bondanya iaitu pada fajar Isnin 12 Rabi’ul Awwal tahun Gajah.
Filed under: Lailatur Raghaib | Leave a comment »