Hadits Kehidupan Khusus Nabi Muhammad di alam kubur : dari kubur nabi menjawab salam- shalawat – terdengar suara adzan

Kehidupan Khusus Nabi Muhammad SAW Di Alam Barzakh

Telah terbukti bahawa kehidupan Nabi kita Muhammad SAW di alam barzakh adalah lebih sempurna dan lebih hebat daripada manusia yang lain. Hal ini diceritakan sendiri oleh Nabi SAW dan Baginda SAW juga mengesahkan wujudnya hubungan di antara Baginda SAW dengan umatnya.

Baginda SAW mengetahui perihal keadaan mereka, dapat melihat amalan mereka, mendengar percakapan mereka dan menjawab salam mereka. Terdapat banyak hadis yang membahaskan berkenaan bab ini. Di antaranya ialah hadith daripada Abdullah ibn Mas’ud RA, daripada Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah memiliki malaikat yang berlegar-legar di muka bumi, untuk menyampaikan kepada saya salam daripada umat saya.” Dalam sebuah hadis yang lain, diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud RA, daripada Nabi SAW bersabda, maksudnya:

“Kehidupan saya adalah baik bagi kalian; kalian berbicara (bertanya masalah dan hukum kepada Baginda SAW) dan dibicarakan bagi kalian (dengan wahyu dan syari’ah daripada Allah melalui perantaraan Baginda SAW). Kewafatan saya juga adalah baik bagi kalian. Amalan kalian dibentangkan kepada saya; sekiranya apa yang saya lihat berunsur kebaikan, maka saya memuji Allah ke atasnya, dan sekiranya apa yang saya lihat berunsur kejahatan, maka saya memohon keampunan kepada Allah untuk kalian.”

Al Hafiz Abu Zur’ah al ‘Iraqi berkata di dalam Kitab al Janaiz, dari kitabnya Tarh al Tathrib fi Syarh al Taqrib: Sanad hadith ini adalah baik. Al Hafiz al Haithami berkata di dalam Majma’ al Zawa’id (jilid 9, halaman 24): Hadis ini diriwayatkan oleh al Bazzar, dan perawi-perawinya adalah perawi yang sahih. Ia menunjukkan bahawa Nabi SAW mengetahui tentang amalan kita kerana ia dibentangkan kepadanya dan Baginda SAW memohon keampunan kepada Allah untuk kita atas kejahatan dan keburukan yang telah kita lakukan. Jika demikian keadaannya, maka diharuskan kita bertawassul dengan Baginda SAW kepada Allah dan memohon syafaatnya di sisi Allah SWT.

Oleh kerana Baginda SAW mengetahui perbuatan kita termasuk bertawassul dan memohon syafa’at tersebut, maka Baginda SAW akan memberi syafaat kepada kita dan mendoakan kita. Baginda adalah al Syafi’ al Musyaffa’ (pemberi syafa’at yang diizinkan oleh Allah SWT memberikan syafa’at) dan Allah menambah kemuliaan dan ketinggiannya. Sesungguhnya Allah SWT telah menyatakan di dalam al Quran bahawa Nabi SAW adalah saksi ke atas umatnya. Ini tentu sekali menuntut kepada perlunya diperlihatkan kepada Baginda SAW segala amalan mereka agar Baginda SAW menjadi saksi atas apa yang dilihat dan diketahuinya.

Ibnu al Mubarak berkata: Telah mengkhabarkan kepada kami seorang lelaki daripada kaum Ansar, daripada Al-Minhal ibn ‘Amru, bahawa dia mendengar Sa’id ibn Al-Musayyib RA berkata: Tidak berlalu walau satu hari, melainkan dibentangkan kepada Nabi SAW pada hari tersebut amalan umatnya saban pagi dan petang. Maka Baginda SAW mengenali umatnya melalui nama-nama mereka dan amalan mereka. Justeru itulah, Baginda SAW menjadi saksi ke atas mereka. Allah SWT berfirman dalam Surah al Nisa’ ayat 41 yang bermaksud:

“Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari Kiamat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?”

Hadis lain yang menunjukkan wujudnya pertalian kehidupan Nabi SAW di alam barzakh dengan umatnya yang masih hidup, ialah hadith daripada ’Ammar ibn Yasir RA di mana beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah telah mewakilkan bagi kubur saya malaikat yang Allah telah diberikan kepadanya nama-nama sekalian makhluk. Maka tidak seorang pun yang bersalawat ke atas saya sehingga hari Kiamat melainkan dia menyampaikan kepada saya dengan namanya dan nama bapanya, ”Ini Fulan ibn Fulan, dia telah bersalawat ke atas engkau.”

Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dan Abu Al-Syeikh Ibnu Hibban dengan lafaznya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung mempunyai malaikat yang diberikan kepadanya pendengaran sekalian makhluk. Maka dia berdiri di kubur saya apabila saya telah wafat. Tiada seorang pun bersalawat kepada saya melainkan malaikat itu berkata, ”Wahai Muhammad! Fulan ibn Fulan telah bersalawat kepada engkau.” Lalu Baginda SAW bersabda,

”Maka Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung akan bersalawat ke atas lelaki tersebut bagi setiap satu salawatnya dengan sepuluh salawat (daripada Allah).” Daripada Abu al Darda’ RA berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Perbanyakanlah salawat kepada saya pada hari Jumaat, kerana ia menjadi barang saksian yang disaksikan oleh malaikat. Tidaklah seseorang bersalawat ke atas saya melainkan dibentangkan selawatnya itu kepada saya hinggalah dia selesai bersalawat. Abu Darda’ RA berkata, “Saya bertanya, “Walaupun setelah engkau wafat?”

Baginda SAW menjawab, “Walaupun setelah saya wafat. Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas bumi ini dari memamah jasad para Nabi, maka sebenarnya Nabi Allah itu hidup dengan diberi rezeki padanya.” Diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak seorang pun memberi salam kepada saya kecuali Allah mengembalikan ruh saya kepada saya sehingga saya dapat menjawab salamnya.” Manakala dalam riwayat al Nasa’i dan lain-lainnya, daripada Nabi SAW bersabda, maksudnya:

“Sesungguhnya Allah telah mewakilkan beberapa malaikat di kuburku untuk menyampaikan kepadsaya salam daripada umatku.” UMAT MENGIRIM SALAM DAN NABI SAW MENYAHUT SERUAN ORANG YANG MENYERUNYA Daripada Yazid ibn al-Muhri berkata: Ketika saya mengucapkan selamat tinggal kepada Umar ibn Abdul Aziz RA, beliau berkata, “Saya mempunyai suatu hajat untuk engkau tunaikan.” Saya berkata, “Wahai Amirul Mukminin! Bagaimanakah tuan memerlukan sesuatu daripada saya?” Khalifah Umar RA berkata, “Saya melihat, apabila engkau sampai ke Madinah, engkau pasti akan pergi menziarahi maqam Nabi SAW. Apabila tiba di sana nanti, sampaikanlah salam saya kepada Baginda SAW.”

Terdapat juga hadis lain yang diriwayatkan oleh Hatim ibn Wardan, beliau berkata: Sesungguhnya Umar ibn Abdul Aziz RA mengirim utusan dari Syam ke Madinah untuk menyampaikan salamnya kepada Nabi SAW. Al-Khufaji dan Al-Mulla Ali Qari menyebut di dalam Syarh al Syifa bahawa hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Abi Dunya dan Al-Baihaqi di dalam Syu’ab Al-Iman. Al-Khufaji Berkata: Telah menjadi kebiasaan dan adat ahli salaf, mengutus salam kepada Rasulullah SAW. Ibnu Umar RA sendiri melakukannya dan mengutuskan salam kepada Nabi SAW, Saiyyiduna Abu Bakar RA dan juga Saiyyiduna Umar RA. Meskipun ucapan salam orang-orang yang mengucapkannya akan sampai kepada Rasulullah SAW, sekali pun jauh daripadanya, namun terdapat keutamaan bagi orang yang mengucapkan sendiri salam tersebut di sisinya dan Baginda SAW sendiri yang akan menyahut salam tersebut. Nabi SAW sebenarnya menjawab seruan orang yang memanggilnya, misalnya seruan, “Wahai Muhammad!”.

Perkara ini disebut dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA dari riwayat Abi Ya’la, dalam menceritakan hal Nabi Isa AS, maksudnya: “Sekiranya Isa berdiri di kubur saya, lalu berkata, “Wahai Muhammad!”, nescaya saya akan menyahut seruannya itu.” SUARA, UCAPAN SALAM DAN LAUNGAN AZAN DARI MAQAM NABI SAW Al-Imam Al-Hafiz Abu Muhammad Abdullah Al-Darimi meriwayatkan di dalam kitab Sunannya, beliau berkata: Telah mengkhabarkan kepada kami Marwan ibn Muhammad, daripada Sa’id ibn Abdul Aziz berkata: Sewaktu berlakunya peristiwa pertelingkahan (di antara penduduk Madinah dengan tentera Yazid ibn Mu’awiyah tahun 63 Hijrah), tidak kedengaran azan di Masjid Nabawi selama tiga hari. Selama itulah Sa’id ibn Musayyib RA tidak bangun dan tidak keluar dari Masjid Nabawi.

Beliau tidak mengetahui masuknya waktu solat melainkan melalui suara azan yang sayup-sayup kedengaran daripada Maqam Nabi SAW. Ibrahim ibn Syaiban pula berkata: Saya melaksanakan ibadah haji, kemudian saya pergi ke Madinah dan terus menuju ke Maqam Nabi SAW. Maka saya pun memberi salam ke atas Baginda SAW lalu saya terdengar suara dari dalam maqam itu menjawab: “Waalaikassalam.”

Demikianlah kasih sayang Allah SWT ke atas umat ini sehingga Dia tidak memutuskan hubungan mereka dengan kekasih-Nya Sayyiduna Muhammad SAW hanya disebabkan oleh sebuah kematian. Rasulullah SAW sentiasa hampir dengan kita selaku umatnya, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak putus-putus mengucapkan salawat dan menitipkan syair-syair indah tanda kerinduan dan kecintaan terhadap Baginda SAW. Bagaimana mungkin kita selaku umat yang mengharapkan syafaatnya di akhirat kelak melupakan Baginda SAW sedangkan Baginda SAW sentiasa mendoakan kerahmatan dan keampunan atas setiap kesalahan yang kita lakukan.