Ashhaabul Badr

Adalah kami pada hari Badar berkongsi seekor unta 3 orang, dan adalah Sayyidina Abu Lubabah r.a. dan Sayyidina Ali bin Abu Talib r.a. menjadi rakan berkongsi unta dengan Junjungan Nabi s.a.w. Ketika sampai giliran untuk menunggang unta, mereka berdua berkata kepada Junjungan s.a.w.: “Wahai RasulAllah, biarlah kami berjalan dan engkau tetap naik.” Baginda menjawab: “Kalian tidaklah lebih kuat daripadaku untuk berjalan dan tidaklah aku terkaya daripada memperolehi pahala.”
Allahu..Allah, lihat ikhwah bagaimana akhlak Penghulu sekalian semesta ini. Bandingkanlah dengan sikap kita, sudahlah banyak dosa, tapi tak sungguh-sungguh meminta keampunan Allah, malas beramal walaupun miskin pahala…Allahu…Allah.
Sungguh Ghazwah Badar amat signifikan dalam kehidupan seseorang individu muslim kerana inilah hari berlakunya penentuan sama ada Islam terus tetap berkembang atau berkubur. Junjungan s.a.w. sendiri dalam munajat baginda sebelum meletusnya perang tersebut menyatakan:-
Ya Allah, aku mengharapkan janji-janjiMu. Ya Allah, jika sekiranya Engkau binasakan akan pasukan ini (yakni para pejuang Badar), nescaya Engkau tidak akan disembah lagi di muka bumi ini.
Sungguh peristiwa ini mesti sentiasa lekat dalam fikiran dan sanubari kita. Kemenangan tentera Badar di bawah pimpinan Junjungan telah menjadi sebab bagi perkembangan pesat Islam ke seluruh alam sehingga ke rantau kita ini wajar diingat dengan penuh rasa syukur kepada Allah s.w.t. sebagaimana firmanNya dalam surah Ali Imran ayat 123:-
Dan sungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).
Para pejuang Badar amat tinggi kedudukan mereka di sisi umat. Mereka telah dipilih Allah untuk menjadi sebab bagi kesinambungan Islam atas mukabumi ini. Oleh itu mereka adalah pilihan Allah dan waliNya. Maka tidak hairanlah, para ulama kita mengarang berbagai ibtihal dan munajat yang mengandungi tawassul dengan para pejuang ini. Antara yang paling masyhur di rantau kita ini ialah Sholawat Badar. Al-‘Allaamah as-Sayyid Ja’far bin Hasan bin ‘Abdul Karim al-Barzanji rhm., Mufti Syafi`iyyah Madinah dan pengarang Mawlid Barzanji yang terkenal, telah mengarang sebuah na
zam yang mengandungi tawassul ini yang dinamakan “Jaaliyatul Kadar“. Al-‘Allaamah as-Sayyid Ibrahim bin Idris as-Sanusi al-Hasani al-Fasi rhm. pula mengarang “Saifun Nashor bis Saadatil Kiraam Ahlil Badr” yang pembacaannya menjadi wirid penting di sesetengah tempat. Di Kota Gresik, Jawa Timur pembacaannya secara tetap dipelopori oleh Quthubul Habib Abu Bakar bin Muhammad as-Saqqaf rhm. Mawlana Dhiyauddin Khalid al-Baghdadi q.s., mujaddid Thoriqah an-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah, pula menyusun himpunan sholawat yang memuatkan tawassul dengan pejuang Badar dengan jodol “Jaaliyatul Akdaar was Saiful Battaar“. Inilah antara cara bagaimana
ulama dan umat memperingati Ahli Badar yang mulia, bukan sahaja dengan ceramah-ceramah, tetapi dalam munajat disebut nama mereka dengan penuh hormat dan takzim kerana mereka-mereka ini adalah kekasih Allah dan waliNya di mana dengan penyebutan nama mereka diharapkan turunnya keberkatan dan rahmat daripada Allah s.w.t..
Ikhwah, untuk penutup posting ini, aku nukil kalam Tok Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rhm. dalam “Hadiiqatul Azhaar war Riyaahiin” bahawa:-
و قال ايضا عند ذكر الصالحين تنزل الرحمة
Dan bersabda Nabi s.a.w.:- “Sebut oleh kamu akan segala orang yang sholihin nescaya diberi berkat atas kamu”. Dan sabdanya juga:- “Tatkala menyebutkan segala orang yang sholihin itu turunlah rahmat.”
Mudah-mudahan keberkatan Ahli Badar terus mengalir kepada kita sekalian demi kemuliaan Penghulunya Ahli Badar, Junjungan Nabi s.a.w., moga dengan keberkatan tersebut kita akan bersemangat waja untuk mengamalkan dan menegakkan Islam dengan sebaiknya.
Filed under: Ashhaabul Badr / Ahli Badar | Leave a comment »