Manaqib (Biografi) : Syaikhul Hadits Imam Sayuthi Rah.

REHLAH ILMIAH IMAM SAYUTHI r.a . 1


Syekhul Islam al-Hafidz al-Imam al Allamah al-Sayuthi telah dilahirkan pada 849 h bersamaan 1445 m, mata beliau telah tertumpu pada kitab-kitab , fikiran beliau membaca, hati beliau menghalusi maklumatnya, mengenali, menghafal , melaksanakan, mentaati, menuruti, tangan kanan beliau memegang pena, melakari , menjalani tulisan demi tulisan tanpa lelah , tanpa jemu.

Sesungguhnya Allah s.w.t telah menganugerahi kepada Al-Sayuthi kekuatan ingatan , hafalan dan telah dibekalkan dengan kesabaran dalam pembelajaran . Perhatikanlah, beliau telah hafal al Quran padahal umurnya tidak sampai 8 tahun. Selepasnya menghafal pula kitab “al-Tanbih”– Imam Abi Ishaq al Sairazi, kemudiannya menghafal pula ” Tahzib al-Furu’ – Imam Baghawi , kemudiannya menghafal pula ” Rawdhah al-Tholibin” – Imam Nawawi – 10 jilid !!!!, dan kemudiannya menghafal pula ” Umdatul Ahkam”– al- Muqaddasi – matan hadis, kemudiannya lagi menghafal pula ” Minhajul Usul “ – al-Baidhawi ” – ilmu usul fiqh, dan “al-Fiyah” – Ibnu Malik-ilmu Nahwu, padahal ketika belum lagi bergelar ulamak, ustaz maupun sheikh?..

Ini semua berlaku ditahap awal umur beliau, merupakan pesediaan untuk menghadapi medan ilmu yang sangat luas dan dalam. Terbukti dan ternyata “persediaan” beliau terserlah , apabila hadir dimajlis para ulamak , beliau menyebut semua hafalannya dari kitab kitab tersebut… kemampuannya memeranjatkan…. Maka tahap “persediaan” telah dilaluinya dengan cemerlang , sementara tahap kedua iaitu “menadah” , “duduk didalam halaqah-halaqah pengajian Ilmu” dan “bertalaqqi” ilmu dari para ulamak – Ini perkara yang tidak dapat tidak mesti dilalui untuk menghasilkan ilmu yang sebenar… juga telah dilalui beliau dengan sebaik-baiknya.

Sesungguhnya para ulamak telah menganggap “hari-hari” yang sangat berharga sebagai suatu “Fardhu” kewajipan untuk melalui tahap kedua ini, bagi setiap mereka yang mahu mencapai kemuliaan “Ilmu” dengan title “al-Alim” “al-Ustaz” , “al-Allamah” , “al-sheikh” dan sebagainya..
Mengapakah tidak begitu?, memang akan begitulah syaratnya, sebab kitab-kitab dan buku-buku merupakan benda-benda yang bisu yang tidak akan berbicara melainkan dimajlis para ulamak, dengan isyarat dan pencerahan dari mereka.

Merekalah yang akan mengerak-gerakkan huruf-hurufnya. Akan memancarkan khazanah-khazanah gedung pengetahuan dari dasar lautannya. Seseorang penuntut itu hanya akan bertemankan buku-bukunya saja, itulah saja yang mampu dibuatnya jika tidak mengikut aturan-aturan ILMU .
Ilmu adalah AGAMA, maka perhatikanlah darimana diperolehi agama kita..

Guru-guru Imam Sayuthi.

Pada tahun 864 h , al-Sayuthi mula bertalaqqi ilmu dari para Sheikh . Tidak ada seorangpun yang pernah beliau kenali melainkan beliau akan mengadapnya , bermulazamah dengan sungguh-sungguh dan dalam masa yang lama . Beliau akan mendapatkan intisari ilmu yang ada pada setiap sheikh tersebut. Guru-guru yang sangat ramai menjangkau 150 orang, mereka telah meninggalkan kesan yang mendalam pada peribadi al-Sayuthi. Jika dihimpunkan pula dengan guru-guru yang hanya mengijazahkan sanad-sanad dan sebagainya maka berjumlah 600 orang.
Bertuah Sungguh al-Sayuthi, guru terawal yang mengasuhnya adalah Al-Allamah al Muhaqiq Kamal bin Humam- pengarang kitab Fathul Qoder Syarah Hidayah- Fiqah Mazhab Hanafi, kitab rujukan Fiqh Hanafi.

Kemudian berguru pula kepada Sheikhul Islam, Qodhiul Qudhah al-Imam Al-Bulqini– al Sayuthi telah belajar dengan Sheikh ini dari tahun 865-868 h. Imam Bulqini ini telah mengijazahkan keizinan mengajar dan berfatwa kepada al-Sayuthi pada tahun 867 h.
Kemudian berguru pula kepada Al-Shulthan Al Hanafi- Shamsuddin Al-Hanafi – yang terkenal dengan kesolehan, uzlah , tumpuan ibadah dan mengajar. Al- Syauthi belajar kitab-kitab Lughah dan Akidah daripada beliau ini.
Kemudian berguru pula kepada Sheikh Syarafuddin Yahya Al-Manawi.- Al Sayuthi telah mulazamah dengan Sheikh ini selepas kewafatan al Bulqini tahun 868 h. Sheikh ini adalah guru Fiqah dan Ilmu-ilmu Syariat al Sayuthi.

Berguru kepada Imam Taqiyuddin Yahya bin Muhammad al-Syumuni.- Melazimi Sheikh ini selama 4 tahun bermula tahun 868 h , dan telah mengambil/belajar darinya ilmu hadis riwayah dan dirayah . Merupakan Sheikh yang teragung dalam Ilmu Arabiyah dan ilmu ma’ani.

Berguru pula kepada Al Allamah Mahyuddin al-Kafiiyaji- telah belajar al-Sayuthi kepada mahaguru ini selama 14 tahun . Kepada mahaguru ini al-Sayuthi telah melaziminya dalam masa yang sangat lama. al Sayuthi telah belajar dari mahaguru ini Ilmu Tafsir, Ilmu Usul, Nahwu dan semua pelajaran Bahasa Arab. Mahaguru ini telah mencatitkan Ijazah besar kepada al-Sayuthi untuk mengajar semua matapelajaran .

al-ٍٍSayuthi mengisahkan saat-saat pembelajaran
beliau: ” Rutin setiap minggu ,daku setiap lepas subuh hadir kemajlis Imam Bulqini, sehingga hampir waktu Zuhur. Kemudian sehingga hampir masuk waktu Asar daku kemajlis Imam al-Syamuni – keadaan begini berlaku selama tiga hari : hari sabtu, isnin dan khamis. Manakala hari ahad dan selasa pula daku hadir kemajlis Sheikh Sahamsuddin al-hanafi pada awal pagi. Manakala selepas zuhurnya pula pada dua hari ini dan hari rabu, daku hadir kemajlis al sheikh Muhyuddin al Kaafiiyaji”

Rehlah Imam Sayuthi dalam pencarian Ilmu.

Begitulah kebiasaannya mesti seseorang ulamak itu menjelajah serata pelusuk dunia untuk mencari khazanah-khazanah ilmu yang terpendam atau menggali lombongnya.

Ini adalah tradisi para ulama Islam kita. Mereka menjelajah kenegara-negara lain, dengan mereguk kesusahan dalam perjalanan , mara–bahaya dalam perjalanan, rasa takutkan musuh, sejuk keseorangan, tidak dikenali untuk dihormati, maklumlah siapa yang kenal seorang ulama bila bermusafir ditempat yang tidak dikenali… demi untuk Ilmu dan Agama Lillah ta’ala, mereka lakukan juga.

Al-Sayuthi berangkat menuju ke Sham dan Hijaz untuk menunaikan haji pada tahun 869 h. Setahun kemudiannya beliau pergi ke daerah daerah di Mesir. Disetiap tempat yang dilaluinya beliau akan bertemu para ahli ilmu , mengambil ilmu dari mereka dan mereka pula mengambil darinya. Begitulah harta benda para ulamak. Perniagaan mereka tidak pula terlalu murah dan tidak terlalu mahal.
Sangat Istimewa pada al-Sayuthi , beliau telah mencatit catitan disetiap perjalanan (rehlah ilmiah) beliau. Peristiwa yang berlaku, dan dengan siapa beliau telah bertemu, maka disetiap rehlah beliau terdapat kitabnya, sepertimana kita boleh menjumpainya dalam kitab “al-Rihlah al fayyumiyah, wal- makkiyah wal dumyathiyyah”.

Dalam kitab Husn al muhadarat- “Daku telah bermusafir, Alhamdulillah, kenegeri Sham, Hijaz, Yamen, India, Maghribi dan Takarrur”.

Sekalipun setengah pendapat mengatakan rehlah ilmiyah Al Sayuti tidak lebih daripada sekitar negara Mesir dan Mekah, tetapi dapat dipastikan Al Sayuti memang menjelajah ke luar negara dalam rehlah ilmiyah beliau.

Kehebatan al Sayuthi menghafal dan mencerna ilmu.

Sesungguhnya ilmu pengetahuan ditancapkan pada kewujudan Al-Sayuti, jikalau anda berkata Al-Sayuti hidup untuk ilmu dan hidup dengan bernyawakan ilmu, anda adalah benar dengan pendapat tersebut. Satu bukti yang sangat baik untuk pendapat tersebut ialah perkataan beliau, “Sesungguhnya daku seorang laki-laki yang diberi cinta terhadap ilmu, membuat penelitian padanya, yang halusnya ataupun yang zahirnya. Menyelami hakikat-hakikat, menyelusuri kehalusan, memeriksa asal usul. Daku telah dikurniakan sedemikian sehinggalah tidak ada lagi tempat tumbuh sehelai bulu ditubuhku melainkan akan disebatikan dengannya.”

Nampaknya perkataan beliau seolah-olah berlaku riak, tetapi itulah yang sebenarnya berlaku dan merupakan apa yang disebut sebagai tahaddus binni’mah. Perhatikanlah bagaimana akan berlaku sekiranya seseorang yang telah dilambung sesuatu perasaan cinta terhadap suatu perkara maka pertautan hati dan keasyikan akan berlaku. Begitulah keadaannya dengan Al Sayuti. Beliau tidak riak, bukan menunjuk-nunjuk, tidak sombong. Yang berlaku adalah asyik, kerinduan terhadap ilmu sehingga sampai ke dalam lubuk hatinya yang dalam dan menjalar keseluruh urat-urat dan sendi sehingga seluruh kehidupannya dicurahkan pada tiap sesuatu kearah mendapatkan ilmu , menghafal dan memeliharanya.
Beliau menyelami perbahasan kitab-kitab menerusi pemikiran yang tersembunyi dan daurah majlis ilmu dari siang hingga ke malamnya agar dapat memetik buah-buahan yang indah, agar dapat manfaat dan memberi manfaat kepada orang lain. Telah diberitakan berkenaan sikapnya itu, “Beliau tidak tidur pada malam hari melainkan sedikit sekali. Tidak pernah setiap kali dikala daku melihat beliau melainkan beliau sedang membaca atau menulis atau membahaskan ilmu.”
Sesunguhnya Al-Sayuti telah dianugerahkan kekuatan ingatan dan hafalan sehingga mengkagumkan para gurunya. Kekuatan tersebut menolongnya bagi mempertingkatkan pencapaian ilmiah beliau. Berkekalan sepanjang hayat beliau sehingga kematian beliau, tidak dijengah sifat lupa atau nyanyuk. Beliau pernah memperikan hal tersebut dengan katanya, “Tidak berlaku pada diriku satu perkara yang daku akan segera menanggapinya tanpa teliti dan kaji, dan tidak pernah mendengar atau melihat satu perkara kemudian melupakannya”.
Sebenarnya kekuatan ingatan yang seperti ini merupakan persediaan dan satu pertolongan yang sangat mencukupi untuk menghafal nas-nas dan hadis-hadis Nabawi. Sehingga beliau melebihi rakan-rakan seangkatan dalam pencapaian ilmiah sebagaimana yang akan anda jumpai buktinya di dalam setiap sesuatu perbahasan ilmiahnya. Al-Sya’rani pernah menceritakan bahawa Al-Sayuti sangat banyak menjawab soalan-soalan pertanyaan dengan penjelasan yang mudah difahami. Setelah menjawab setiap soalan, beliau akan berkata, (“Azzihnu khawaan- Silalah buka kitab si polan dan kiralah muka surat sekian-sekian, baris sekian-sekian, nanti kamu akan menjumpai persoalan ini insyallah seperti mana yang telah aku katakan tadi”.) Apabila diperiksa kitab-kitab rujukan tersebut maka didapati jawapannya adalah benar. Demikianlah adanya al-Imam Al-Sheikhul Islam Al-Sayuti.

REHLAH ILMIAH IMAM SAYUTHI.r.a 2.

IMAM SAYUTHI DAN ILMU LUGHAH ARABIAH.

Tidak akan bertambah ilmu pengetahuan melainkan berwasilahkan melalui BAHASA. Bahasa Arab sangat istimewa disebabkan anugerah Allah terhadap NabiNya yang penyudah dan diturunkun kitab Al- Quran dengannya. Seperti itu juga wajib mengetahui cara sembahyang dan zikir di dalam sembahyang menerusi Bahasa Arab. Oleh sebab yang demikian, Imam Al-Syafie telah menjelaskan perihal wajib mengetahui Bahasa Arab bagi setiap penuntut ilmu dan dan lazim bagi setiap Muslim mempelajarinya demi kesempurnaan agama. Boleh dilihat hal ini di dalam kitab al Risalah karangan Imam Al-Syafie mukasurat 48 hingga 49.

Al-Sayuti yang bermazhab Syafie, sangat mengamat- amati kalimah dan anjuran Imam Syafie, imam ikutannya yang agung itu. Beliau telah meluaskan pengetahuan Arabiahnya sehingga diberi gelaran Al A’lamah Al Lughawi (Imam yang sangat alim pada ilmu bahasa). Ada sarjana yang mengatakan karangan beliau tentang bahasa menjangkau 100 buah. Lihat sahaja kehebatan kitab al asbah wan nazhoir fin nahw (komentar matan alfiyah Ibnu Malik) berkenaan ilmu nahu yang sangat besar dan berjilid-jilid pula. Lihat juga al Muzhir, perbicaraan lughah/bahasa arab yang sangat halus dan luarbiasa.

Al-Sayuti mengkhabarkan puji-pujian guru beliau, Al Imam Taqiyuddin Ahmad bin Muhammad Al-Shumuni terhadap kitab Jamu’l Jawami’ itu dengan taajubnya keheranan. Sheikh itu berkata, “Daku telah meneliti satu-satunya kitab Jamu’l Jawami’ ini, dan karangan yang merupakan permata yang terkarang.”
Al-A’lamah Mahyuddin al Kafiyaji, Al-Sayuti telah menceduk lautan ilmu selama 14 tahun daripada Sheikh ini. Beliau merupakan guru utama bagi Al- Sayuti, Al-Sayuti telah mensifatkan keperibadian Sheikhnya ini dalam kitab Al-Itqhon dengan ungkapan “Mahaguru bagi segala para ustaz, merupakan mata bagi seseorang manusia yang meneliti dan mengkaji, intisari bagi para ulamak semasa, A’llamah (ulamak yang sangat alim) semasa, kebanggaan zaman. Daku tidak pernah masuk menemuinya setiap kali dalam sehari melainkan akan mendapat faedah bertambah ilmu pada perkara yang tidak pernah aku dengar daripada pentahkikan yang sangat hebat dan berharga.”
Di dalam kitab al Asbah wan Nazhoir, pada bicara ilmu Nahu, Al-Sayuti menceritakan pelajaran beliau dengan gurunya ini. “Pada suatu hari gurunya berkata, “Engkau i’rablah ayat ‘Zaidun Qoo iimun’.” Daku berkata. “Ya Sheikh, anda buat kami seperti dikedudukan kanak-kanak, anda hanya bertanya berkenaan hal ini sahaja?” Sheikhku menjawab, “Pada ayat “Zaidun Qoo iimun” terdapat 113 perbahasan” .
Maka As Sayuti merasa hairan dengan jawapan Sheikhnya itu lalu beliau tidak berdiri melainkan terus mencapai kitab-kitab beliau untuk mencatit setiap satu perbahasan tersebut, bermula daripada perbahasan ilmu Nahu sehingga hampir kepada perbahasan Falsafah dan Mantik. Yang demikian disebabkan Al A’lamah Mahyuddin al Kafiyaji sangat mendalami ilmu-ilmu Lughah dah ‘Aqliah.

REHLAH ILMIAH IMAM SAYUTHI r.a 3

IMAM SAYUTHI DAN ILMU LUGHAH ARABIAH. 2

Lihatlah persediaan ilmu-ilmu alat Imam Sayuthi, sebelum masuk mengharungi lautan Ilmu Hadis dan tafsir. Betapa kukuh dan mantapnya kemampuan persediaan dan bekalan beliau untuk mencerna dan menilai hadis-hadis dan ayat-ayat Quran.
Imam Sayuthi telah menulis lebih daripada 100 buah kitab dan risalah berkaitan Ilmu Nahu dan Bahasa (lughah).
Karangan beliau yang terpenting berkenaan Lughah, Nahu (tatabahasa), Ilmu Bayan dan Badi’ (iaitu dua ilmu cawangan ilmu lughah) iaitu :
1. al-Muzhir.
2. al-Akhbar al Marwiyah fi sababi wadh’i al Arabiyah.
3. al-Asybah wa Al Nazooir fil lughah- Nama yang sama tetapi adalah sebuah kitab lain daripada kitab al Asybah pada bicara ilmu Qawaid Fiqhiyah Mazhab Shafie.
4. Lum’ah al-Isyraq fil Isytiqaq.
5. al-Muhazzab fima warada fi al-quran min al Mu’arab.
6. Ta’rif al Daqiqah fi-Idrak al Haqiqah.
7. Ta’rif al A’jam bi huruf al Mu’jam.
8. Tahqiq al Tadhmin – satu risalah kecil setebal 10 mukasurat.
9. Huruf al Haija.- sebuah risalah berkenaan huruf ejaan.
10. Maudhu’aat mutanasyirah fi kitab al Kanzul Madfun.

Kesemua kitab tersebut adalah karangan dan perbahasan beliau yang terpenting dalam bidang bahasa (lughah) .

Adapun karangan dan perbahasan beliau dibidang Ilmu Nahu (tatabahasa) dan Ilmu Sharaf (ilmu tentang asal-usul setiap kalimah, makna dan huruf-hurufnya) :
1. al Iqtirah fi Usul al Nahwu.
2. Jam’ul Jawami’.
3. Ham’ul al Hawami’ fi Syarh Jam’ul Jawami’.
4. al Faridah fi al Nahwu , wa Tasrif wa al Khath.
5. al-Nukat a’la Alfiyah , wa al-Kaafiyah, wa al- Syafiah , wa al- Syuzuz, wa al Nuzahhah.
6. فتح القريب على المغنى اللبيب
المصاعد العلية فى القواعد النحوية. 7
در التاج فى اعراب مشكل المنهاج. 8
التوشح على التوضيح 9
السيف الصقيل فى حواشى ابن عقيل. 10
الموشح . 11
شرح القصيدة الكافية فى التصريف .12

13. شرح التصريف لابن مالك
البهجة المرضية فى شرح ألفية ابن مالك .14
السلسلة .15.

REHLAH ILMIAH IMAM SAYUTHI r.a 4

IMAM SAYUTHI DAN ILMU LUGHAH ARABIAH. 3

Adapun kitab “Al Muzhir” merupakan karangan beliau dibidang Lughah yang sangat bernilai . Dengan kitab ini telah meningkat sedikit kecergasan dan keupayaan karangan beliau. Sebanyak 50 pelbagai perbahasan dalam bidang Lughah telah dikumpulkan dalam bentuk susunan yang mengikut kaedah penyusunan ilmu dengan method yang jelas.
Rujukan beliau dalam karangan al Muzhir ini menjangkau 171 buah kitab-kitab induk yang membahaskan Lughah, Adab (sastra arab), Tarajim (biodata para ulamak), Fiqah dan lain-lain.

Al Muzhir dianggap sebagai memadai untuk dijadikan petunjuk yang jelas bahawa Imam Sayuthi adalah seorang ulamak yang melimpah-ruah pengetahuannya dibidang Lughah (bahasa Arab) , dan ulamak yang bagaikan lautan. Ini kerana beliau mampu untuk mengambil, memetik (iqtibas) dan memahami ibarat nash-nash kalam para pengarang tersebut sebagai bahan kitab al Muzhir beliau.
Olehitu dikatakan al Muzhir adalah “Sebesar-besar karangan Imam Sayuthi dibidang *Fiqh Lughah*, dan dianggap karangan yang menghimpunkan semua karangan ilmu Lughah dan karangan yang lengkap dalam penyusunan pelajaran bahasa (lughah arab)”.

REHLAH ILMIAH IMAM SAYUTHI r.a 5

IMAM SAYUTHI DAN ILMU HADIS.

Pada tahun 872 h. , sewaktu berusia 23 tahun, Imam Sayuthi mula mengajar Ilmu Hadis dengan kaedah Imlai, satu kaedah yang tertinggi , dengan cara guru membaca hadis dari hafalannya tanpa melihat kitab, dan murid mendengarnya kemudian mencatitkannya.

Dikatakan kaedah ini telah berhenti, tiada ulamak yang mempraktikkanya lagi semenjak wafat Imam Ibnu Hajar al Asqolani. Sayuthi menghidupkannya kembali di masjid Jami’ Ahmad bin Thulun.

 

Ketika berusia 37 tahun iaitu pada tahun 886 Hijrah beliau mula secara serius mengarang.

Imam Suyuti merupakan ulama’ hadith yang paling alim pada zamannya, seorang Al-Hafiz yang amat diyakini, mengetahui lafaz-lafaz hadis yang gharib (ganjil) dan mampu mengistinbathkan (mengeluarkan) hukum-hukum darinya. Pada zaman Ibnu Hajar, terdapat beberapa hadith yang tertangguh kerana tidak diketahui siapa perawi dan kedudukan hadith tersebut. Lalu hadith tersebut diajukan kepada Imam Suyuti. Dengan kemahirannya, beliau telah mendatangkan periwayat dan kedudukan hadith tersebut.

 

Imam Suyuti menyatakan bahawa Al Hafiz Ibnu Hajar telah menghafaz hampir 20 ribu hadith. Manakala aku telah menghafaz sebanyak 200 ribu hadith. Sekiranya ada orang lebih daripada itu, pasti aku akan menghafaz lebih daripadanya.Moga-moga tidak ada di atas permukaan bumi ini orang lebih banyak menghafaz dari ini (1) (pada zamannya).

 

Syeikh Al Allamah Zakaria bin Syeikh Al Allamah Muhammad Al Mahalli Asy Syafi’e juga pernah menceritakan tentang kisah pertemuan Imam Suyuti dengan Rasulullah s.a.w. Imam Suyuti menceritakan:

Pada suatu hari, aku bermimpi melihat Nabi s.a.w seolah-olah aku sedang berada di hadapan Baginda s.a.w. Maka aku menyebut kepada Baginda akan kitab hadith yang baru aku karang iaitu kitab Jami’ul Jawami’. Aku berkata kepadanya: Adakah kamu mahu aku membacakan kepada kamu sedikit daripadanya? Maka Baginda s.a.w berkata kepadaku: Bawalah kemari hadith itu kepadaku wahai syeikh!. Ini adalah satu berita gembira yang lebih besar dan bererti bagiku daripada dunia dan seisinya.

______________________________________________________

 

(1) Bahkan ada. Abu Zur’ah al Razi telah menghafaz 200 ribu

http://pondoktampin.blogspot.com/search/label/IMAM%20SAYUTHI