Al-Awa’il al-Sunbuliyyah: Kitab Sanad yang Masyhur

Al-Awa’il al-Sunbuliyyah: Kitab Sanad yang Masyhur

Tulisan ini adalah merupakan cuplikan daripada tulisan al-Fadhil Ustaz Mohd. Khafidz bin Soroni di blog beliau yang bernama Sawanih wa Khawathir.

Biografi Penyusun: Penyusun kitab ialah Syeikh Abu al-Khayr Muhammad Sa‘id ibn Muhammad Sunbul al-Qurasyi al-Makki al-Syafi‘i. Beliau berasal daripada Mekah, dan merupakan salah seorang ulama besar mazhab Syafi’i di Mekah. Beliau pernah menjawat tugas bagi hal-ehwal fatwa dan pengajaran bagi mazhab Syafi’i di Masjidil Haram. Beliau telah menghasilkan beberapa buah karya. Antara tulisan buah tangannya selain kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ialah kitab Isnad Muhammad Sa‘id, kitab Thabat dan lain-lain. Beliau telah meninggal dunia di Taif pada tahun 1175 H.

Murid: Di antara murid-muridnya yang terkenal ialah:

  • Anak beliau sendiri, Muhammad Thahir Sunbul (m.1218H),
  • Muhammad Sa‘id Safar al-Madani (m.1194H),
  • Syeikh Isma‘il bin ’Abdullah al-Naqsyabandi (m.1182H),
  • Muhammad ibn Sulayman al-Kurdi al-Madani (m.1192H),
  • Mustafa bin Muhammad al-Rahmati (m.1205H),
  • Muhammad al-Murtadha al-Zabidi, pensyarah Ihya’ ’Ulumiddin (m.1205H) dan lain-lain lagi.

(Lihat: Khayr al-Din al-Zirikli, al-A‘lam, j. 6, h. 140. Muhammad ‘Abd al-Hay ibn ‘Abd al-Kabir al-Kattani, Fihris al-Faharis wa al-Athbat wa Mu‘jam al-Ma‘ajim wa al-Musalsalat, j. 1, h. 100-102. Muhammad ‘Abd Allah Al Rasyid, Imdad al-Fattah bi Asanid wa Marwiyyat al-Syaykh ‘Abd al-Fattah. h. 588-589).

Latarbelakang Kitab: Kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ialah sebuah kitab kecil yang menghimpunkan hadith-hadith pertama yang terdapat di dalam 43 buah kitab hadith, yang diriwayatkan oleh Syeikh Muhammad Sa‘id secara bersambung sanadnya sampai kepada penyusun-penyusun kitab berkenaan. Ini termasuklah al-Kutub al-Sittah, Sunan al-Darimi, Muwatta’ Malik, Musnad Imam Abu Hanifah, Musnad Imam al-Syafi’i, Musnad Imam Ahmad, Sunan al-Daraqutni, Sunan Sa’id bin Mansur, Musannaf Ibnu Abi Syaibah, Syarh al-Sunnah oleh al-Baghawi, Musnad al-Tayalisi dan lain-lain [1].

Tujuan kitab al-Awa’il seperti ini disusun ialah bagi memudahkan penyusunnya mengijazahkan kitab-kitab hadith yang diriwayatkan kepada murid-muridnya atau sesiapa sahaja yang ingin meminta ijazah daripadanya dan layak. Maka sesiapa yang meriwayatkan kitab al-Awa’il ini bermakna sanadnya bersambung secara langsung dengan penyusun-penyusun kitab hadith yang tersebut, seterusnya bersambung dengan Rasulullah SAW. Syeikh Muhammad Sa‘id telah meriwayatkan semua kitab-kitab tersebut daripada guru-gurunya, yang nama mereka seperti berikut: Syeikh Abu Tahir Muhammad bin Ibrahim al-Kurani (juga guru Syah Waliyullah al-Dihlawi), Syeikh ‘Id ibn ‘Ali al-Azhari (murid Syeikh ’Abdullah bin Salim al-Basri), Syeikh Ahmad al-Nakhli al-Makki dan Syeikh ‘Umar ibn Ahmad ibn ‘Aqil al-Saqqaf. Beliau juga menambah kemudiannya beberapa hadith daripada beberapa kitab hadith lain yang hampir berjumlah 30 buah. Kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ini masyhur digunakan di daerah Hijjaz dan juga benua kecil India sejak kurun ke-12 Hijrah. (Muhammad ‘Abd al-Hay ibn ‘Abd al-Kabir al-Kattani, ibid., j. 1, h. 100-101) [2]

Sanad Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani: Kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ini telah menerima tumpuan daripada ramai ahli ilmu dan para pencari sanad. Ini dapat dilihat sebagai contohnya di dalam sanad Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani (foto kanan), di mana beliau telah meriwayatkan kitab ini daripada hampir 40 orang syeikh yang dihimpunkan kesemua sanad mereka di dalam risalah kecil berjudul : (النفحة المسكية في الأسانيد المتصلة بالأوائل السنبلية). Jumlah keseluruhan perawi yang terdapat di dalam risalah ini adalah sekitar 190 orang, iaitu antara murid-murid Syeikh Muhammad Sa‘id Sunbul sehingga guru-guru Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani. رحمهم الله تعالى Kebanyakan mereka terdiri daripada alim ulama besar yang berasal dari berbagai tempat seperti Hijjaz, Syria, Mesir, Maghribi, Yaman, India, dan juga Nusantara.

Tahkik Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah: Kitab ini telah menerima perhatian daripada ramai ahli ilmu. Ada yang memberi huraian terhadapnya seperti Syeikh Ahmad ibn ‘Uthman al-‘Attar, dan ada juga yang mentahkik isi kandungannya, antaranya ialah Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah (foto kanan). Beliau telah meriwayatkan kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ini melalui rantaian sanad keluarga Sunbul, iaitu daripada Umm Tahir ‘A’isyah Sunbul (m. 1415H), daripada bapanya Syeikh Muhammad Tahir Sunbul (m. 1343H) (foto atas, tengah), daripada bapanya ‘Umar Sunbul, daripada bapanya ‘Abd al-Muhsin Sunbul (m. 1266H), daripada bapanya Muhammad Tahir Sunbul (m. 1218H), daripada bapanya Syeikh Muhammad Sa‘id Sunbul, penyusun kitab tersebut. (Muhammad ‘Abd Allah Al Rasyid (1999), op.cit., h. 589)

Kitab ini sebenarnya sudah dicetak banyak kali, namun edisi yang ditahkik oleh Syeikh ‘Abd al-Fattah ini agak berbeza dengan edisi-edisi cetakan yang lainnya kerana beliau turut melampirkan beberapa tambahan yang dibuat oleh penyusunnya sendiri yang belum pernah dicetak sebelumnya.

Contoh Manuskrip Kitab Awail al-Sunbuliyyah

Sanad al-Faqir (al-Fadhil Ustaz Mohd. Khafidz bin Soroni): Alhamdulillah, saya telah meriwayatkan kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ini daripada guru kami, al-’Allamah al-Muhaddith Syeikh Mahmud Sa’id Mamduh, yang meriwayatkannya daripada Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani (foto kanan dan di bawah adalah contoh sanad kitab Awail al-Sunbuliyyah yang Syeikh Yasin al-Fadani riwayatkan dari syeikh-syeikh beliau sepertimana yang disebut diatas – abu zahrah). Namun beliau tidak menyebut kesemua sanad Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani, dan hanya menyebut jalur riwayatnya daripada Sayyid Zaki bin Ahmad al-Barzanji al-Madani, daripada bapanya al-Mufti Sayyid Ahmad bin Isma’il al-Barzanji, daripadanya bapanya Sayyid Isma’il bin Muhammad al-Hadi al-Barzanji, daripada Syeikh Khalid bin Hasan al-Kurdi, daripada Syeikh Muhammad bin ’Abdur Rahman al-Kazbari, daripada Syeikh Muhammad ibn Sulayman al-Kurdi al-Madani, daripada penyusunnya sendiri Syeikh Muhammad Sa‘id Sunbul. [3] حمهم الله تعالى جميعا.

Pesanan penulis (al-Fadhil Ustaz Mohd. Khafidz bin Soroni): Dilarang menerbit semula kecuali dengan izin penulis, atau memberi kredit kepada penulis demi amanah ilmiah.

***************

Nota tambahan oleh al-Fagir Abu Zahrah:

[1] – Kitab-kitab tersebut adalah: Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim, Sunan Abi Daud, Sunan at-Tirmidhi, Sunan an-Nasai, Sunan Ibn Majah, Musnad ad-Darimi, Muwattho` Malik, Muwattho’ Muhammad al-Hasan, Jaami` Masanid Abi Hanifah, Musnad al-Imam asy-Syafie, Sunan al-Imam asy-Syafie, Musnad al-Imam Ahmad ibn Hanbal, Kitab al-Aasar li Muhammad al-Hasan, Sunan ad-Daraqutni, al-Mustakhraj ‘ala Shahih Muslim lil Haafidz Nu’aim, Sunan Abu Muslim al-Kasyi, Sunan Said bin Manshur, Mushannaf Ibn Abi Syaibah, Kitab Syarh as-Sunnah oleh al-Baghwi, al-Mashobih oleh al-Baghwi, Musnad at-Thoyaalisi, Musnad ‘Abdu ibn Humaid – al-Muntakhab, Musnad al-Haarits ibn Abi Usamah, Musnad al-Bazaar, Musnad abi Ya’la al-Maushuli, Kitab az-Zuhd wa al-Riqaaq – al-Haafidz Ibn al-Mubaarak, Nawaadir al-Ushuul – al-Hakiim at-Tirmidhi, Kitab ad-Du’a – ath-Thabarani, Iqtidha` al-Ilm al-Amal – Khatib al-Baghdadi, Kitan Tarikh al-Rijaal – Yahya ibn Ma’in, Mushannaf ‘Abdur Razzaq al-Shon’ani, as-Sunan as-Shogra` – al-Baihaqi, as-Sunan al-Kubra` – al-Baihaqi, al-Mustakhraj ‘ala Shahih Muslim – Abi ‘Awanah, Shahih Ibn Hibban, Shahih al-Haakim @ al-Mustadrak, Shahih Ibn Khuzaimah, Shahih Abi Bakar al-Ismaa’iiliy, Kitab ‘amal al-Yaum wa al-Lailah – Ibn as-Sunni dan Jam’u al-Fawaaid min Jaami’ al-Ushuul wa Majma’ al-Zawaaid – Muhammad bin Sulaiman.

[2] – Telah menjadi tradisi di Makkah al Mukarramah suatu masa dahulu, kitab ini dibaca dan mula-mula diijazahkan sebelum pembacaan dan pengijazahan kitab-kitab yang lain.

[3] – Dengan limpahan rahmatNYA, al-Fagir juga memperolehi sanad kitab yang masyhur ini daripada Guru Mulia, Syeikh Muhammad Nuruddin bin Marbu bin ‘Abdullah al-Banjari al-Makki dan juga daripada al-‘Allamah al-Muhaddits Syeikh Mahmud Said Mamduh. AlhamduliLlah.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: