Institusi Fatwa Mesir untuk pemain bola sepak Mesir

Jawapan Bagi Soalan Ibnu Ali


Bila saya sebutkan mutu penulisan ilmiyah dan berita di dalam akhbar Malaysia tidak memuaskan, ada yang terasa hati. Mengapa perlu terasa? Saya cuma menyampaikan pandangan bukannya memaksa untuk orang ramai mengikut pandangan saya.Justify Full
Lebih menguatkan andaian saya ialah bilamana isu Darul Ifta’ Misriyyah(Institusi Fatwa Mesir) mengeluarkan kenyataan bahawa dibenarkan untuk pemain bola sepak kebangsaan Mesir berbuka puasa untuk perlawanan Kejohanan Remaja Dunia bawah 20 tahun.

Kalau penduduk di Malaysia hanya semata-mata membaca apa yang ada di dalam akhbar Malaysia maka sudah tentu akan berlaku syak wasangka terhadap para ulama kita yang terdapat di dalam Institusi Fatwa terkemuka tersebut.

Bila saya mengatakan mutu penulisannya teruk, jangan berasa hati lagi ye? Satu tohmahan yang sangat tidak berasas. Lain yang disebutkan oleh Darul Ifta’, lain pula yang dimaklumkan kepada dunia.

Setelah pulang daripada solat Tarawih dan kelas bersama Syeikhuna Murabbi Dr Yusri Rusydi hafizahullah, saya singgah sebentar membeli akhbar al-Khamis yang bertarikh 27 Ogos 2009.Tertarik dengan berita hadapan berkenaan “ Mengapa Habib Ali al-Jifri hafizahullah tidak pernah masuk ke Mesir sepanjang 7 tahun kebelakangan ini?”.Saya tergerak hati untuk membeli akhbar ini buat mengetahui berita selanjutnya tentang Sang Habib yang sangat dicintai ini. Alhamdulillah baru-baru ini sempat saya bertemu dengan Habib Ali al-Jifri hafizahullah secara bersemuka.Dua kali pertemuan dengannya benar-benar melahirkan kecintaan kepada ahli keluarga Baginda sallallahu alaihi wasallam.Terus terang saya katakan, melihat raut wajahnya sahaja boleh menyebabkan seseorang akan rasa cinta kepadanya.

Saya terfikir “ Ini baru cucunya, kalau Baginda sallallahu alaihi wasallam sendiri bagaimanalah agaknya? Mungkin saya akan terus pengsan jika melihat wajah Baginda sallallahu alaihi wasallam dek kerana cantik dan bercahayanya wajah Baginda sallallahu alaihi wasallam

Saya balik ke rumah dan meneliti satu persatu apa yang diceritakan di dalam akhbar al-Khamis tersebut.Tiba-tiba pandangan saya terpaku pada tulisan al-Alim al-Allamah Syaikhuna Dr Ali Jum’ah hafizahullah, Mufti Besar Kerajaan Mesir berkenaan fatwa pemain bola dibenarkan berbuka puasa. Ramai juga yang bertanyakan kepada saya persoalan ini, tetapi saya tangguhkan dahulu jawapannya sehinggalah saya bertanya sendiri dengan para ulama di sini. Alhamdulillah, saya telah temukan jawapannya pada hari ini.

Kata Syeikh al-Allamah Dr Ali Jum’ah hafizahullah menjawab kekeliruan orang ramai tentang perkara ini :

Seorang pemain bola sepak, terikat dengan kontrak yang dimeterai antaranya dengan kelab atau pasukan tersebut maka ianya dikira seorang yang dibayar gaji diatas pekerjaannya tersebut. Jika pemain yang telah mengikat kontrak ini hanya memperoleh sumber rezekinya daripada pekerjaannya sebagai pemain bola sepak, maka jika terdapat perlawanan yang dilaksanakan pada bulan Ramadhan maka dibenarkan untuknya berbuka puasa untuk perlawanan tersebut jika mutu permainannya akan terjejas disebabkan berpuasa. Ini merupakan rukhsah kepada pemain tersebut kerana dia dianggap sebagai seorang pekerja yang dibayar gaji dan perkerjaannya akan terjejas jika pemain tersebut tidak bertenaga. Ini seperti yang disebutkan oleh ulama Hanafiyah di dalam kitab-kitab mereka, seseorang yang dibayar gaji di dalam tempoh tertentu (kontrak) maka dibenarkan untuknya berbuka puasa pada bulan Ramadhan jika dia tidak mampu untuk berpuasa ketika melaksanakan kerjanya.(Maka pekerjaan kontrak sebegini termasuklah kepada pekerjaan sebagai pemain bola sepak).

Menurut al-Imam Ibn Abidin rahimahullah di dalam kitabnya “ Raddul Mukhtar a’la Durri al-Mukhtar” : ((Di dalam permasalahan kerja kontrak, jika pekerja tersebut masih terdapat pendapatan yang mencukupi untuk dirinya dan keluarganya ( selain pekerjaan yang memerlukan untuknya berbuka puasa pada bulan Ramadhan) maka diharamkan kepada pekerja tersebut untuk berbuka puasa pada Bulan Ramadhan.Tetapi jika dia tidak mempunyai pekerjaan yang lain selain pekerjaan tersebut untuk menampung perbelanjaan keluarganya, jika dengan disebabkan berpuasa tersebut menjejaskan mutu kerjanya maka dibenarkan untuknya berbuka.) dipetik secara ringkas.

Ini hanyalah untuk perlawanan yang terpaksa dibuat pada waktu siang yang menyebabkan seseorang pemain tersebut mungkin tidak akan bertenaga. Manakala untuk latihan, perlulah kepada jurulatih untuk membuat latihan pada waktu malam kerana ianya tidak akan menjejaskan ibadah puasa itu sendiri.Jika pihak pengurusan sebenarnya mampu untuk melaksanakan latihan pada waktu malam tetapi tidak dilaksanakan maka berdosa hukumnya.”

Sudah jelas lagi bersuluh, apa yang diterangkan oleh akhbar Malaysia amat bertentangan dengan apa yang disebutkan oleh Syeikh al-Allamah Dr Ali Jum’ah hafizahullah. Seolah-olah Darul Ifta membenarkan seorang pemain tersebut berbuka puasa pada waktu latihan sekalipun.Ini jelas satu pengkhianatan terhadap institusi agama berprestij ini.

Perlu diingat, para ulama kita yang berada di Darul Ifta adalah para ulama yang benar-benar jitu di dalam ilmunya. Kami yang berada di Mesir lebih mengenali mereka dari segi akhlak dan peribadi mereka berbanding orang yang menyampaikan berita secara tidak benar sebegini.

Kebanyakkan ulama di dalam Darul Ifta’ adalah guru-guru kami di Masjid al-Azhar al-Syarif. Kami sering bertemu mereka dan mengikuti kelas pengajian bersama mereka.Apa yang kami tahu, mereka adalah golongan yang benar-benar menjaga lidah daripada memperkatakan sesuatu hukum mengikut hawa nafsu. Setiap hukum yang dikeluarkan pasti ada sandarannya. Maka janganlah disebabkan terlalu mempercayai akhbar di Malaysia menyebabkan kita tertipu dan menjadi kurang beradab dengan para ulama yang bertaqwa ini.

Berhati-hati sebelum keluarkan pernyataan. Ingat tu!!

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Al-Azhar University,
Kaherah Mesir

{ Dipetik daripada blog Dari Anjung Al Atrak

}

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: