Ziarah Kubur – kitab I’aanatuth Thoolibiin

Ziarah Kubur -Syarah Fathul Mu’in ( I’aanah)

Mari ikhwah yang sudi kita telaah sikit kitab “I’aanatuth Thoolibiin” karya Sidi Abu Bakar al-Bakri ibn Muhammad Syatho berhubung ziarah kubur dan yang berhubung dengan ahwal si mati. Kitab ini adalah hasyiah bagi kitab “Fathul Mu’in”. Kitab mu’tabar yang menjadi sandaran dan pegangan dalam fiqh Mazhab Syafi’i. ‘Allaamah Sayyid Abu Bakar al-Bakri bin Sayyid Muhammad Syatha ad-Dimyaathi rahimahullah adalah murid Sayyid Ahmad Zaini Dahlan al-Jilani al-Hasani rahimahullah dan guru kepada Syaikh ‘Utsman bin ‘Abdul Wahhab as-Sarawaki rahimahullah. Moga-moga ada manfaatnya, bagi sesiapa yang tak suka nak baca, tak dapek den nak nolongnya, silalah berangkat ke tempat lain, janganlah nak sibuk mengacau di sini, ambo dah tak kuasa nak melayannya.

Pada halaman 161, jilid 2, Sidi Abu Bakar rahimahUllah menulis:-

[Perkataannya muallif (yakni perkataan pengarang kitab “Fathul Mu’in” iaitu Syaikh Zainuddin bin ‘Abdul ‘Aziz al-Malibari rahimahullah, murid Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah: Dan sunnat ziarah kubur bagi lelaki] kerana nash hadits: “Dahulu aku telah menegah kamu untuk menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah akan dia (yakni kubur) kerana bahawasanya ia mengingatkan kamu kepada akhirat.” Dan juga diriwayatkan daripada Junjungan Nabi s.a.w. bahawasanya baginda bersabda: “Sesiapa yang lalu di sisi kubur saudaranya (yakni saudara seagama) yang dia kenal sewaktu di dunia dahulu, lalu dia mengucapkan salam kepadanya melainkan si mati mengenalinya.”

Dan sunnah muakkad ziarah tersebut pada hak kaum kerabat, terutama sekali kubur dua ibubapa, walaupun kubur mereka berada di negeri atau tempat lain. Telah diriwayatkan oleh Imam al-Haakim daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a.: “Sesiapa yang menziarahi kubur dua ibubapanya atau salah seorang daripada mereka, pada setiap hari Jumaat sekali, diampuni Allah akan dia dan jadilah dia anak yang berbakti kepada kedua orang tuanya.” Dalam satu riwayat lain: “Sesiapa yang menziarahi kubur dua ibubapanya setiap Jumaat atau salah seorang daripada mereka, lalu dia membaca di sisinya surah Yaasin, nescaya diampunkan baginya sebanyak bilangan ayat atau huruf (yakni ayat atau huruf yang terkandung dalam surah Yaasin).” Dan dalam riwayat lain: “Sesiapa yang menziarahi kubur ibubapanya atau salah seorang daripada mereka, maka seolah-olah dia mengerjakan haji (yakni diberi pahala mengerjakan haji sunnat).” Dan diriwayatkan: “Bahawasanya ada orang yang tatkala ibubapanya meninggal dunia, dia dalam keadaan mendurhakai mereka. Lalu dia berdoa kepada Allah bagi kedua ibubapanya setelah mereka meninggal dunia (yakni keinsafannya untuk berbakti kepada ibubapanya hanya muncul setelah ibu bapanya meninggal dunia), maka ditulis Allah baginya yang dia termasuk dalam golongan anak yang berbakti kepada orang tuanya.” Segala khabar (yakni hadits) ini memberi pengajaran bahawa sesiapa yang menziarahi kubur ibubapanya maka dia telah berbakti kepada mereka berdua dan tidak mendurhakai mereka lagi tidak mensia-siakan / memperlecehkan hak mereka berdua. Dan adalah Imam Ibnu Waasi’ menziarahi kubur pada hari Jumaat dan dia berkata:- “Telah sampai kepadaku (hadits) bahawasanya orang mati mengetahui orang-orang yang menziarahi mereka pada hari Jumaat dan sehari selepasnya (yakni hari Sabtu).”

Juga telah warid: “ Bahawasanya roh-roh orang mukmin datang pada setiap malam ke langit dunia dan mereka berhenti di hadapan rumah-rumah mereka. Setiap seorang daripada mereka menyeru dengan suara sedih 1000 kali: “Wahai ahli keluargaku, wahai kaum kerabatku, wahai anakku, wahai orang yang mendiami rumah-rumah kami, berpakaian dengan pakaian kami, berbahagi harta kami, tidak adakah sesiapa antara kamu yang mengingati kami dan memikirkan keadaan kami yang berada dalam kejauhan, kami berada dalam tahanan yang panjang dan kawalan yang ketat? Kasihanilah kami, moga-moga Allah akan mengasihi kamu, dan janganlah kamu bakhil kepada kami sebelum kamu menjadi seperti kami. Wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya kelebihan yang ada pada tangan kamu sekarang, dahulunya ada pada tangan kami. Malangnya kami tidak menafkahkan sebahagian daripadanya untuk jalan Allah, maka perkiraan hisab serta penyesalan atas kami sedangkan manfaatnya bagi orang lain. Maka apabila tidak memperolehi sesuatu (yakni hadiah, sedekah, doa, istighfar dan sebagainya daripada orang hidup kepada mereka), pergilah roh-roh tersebut dengan kekecewaan dan hampa.” Dan telah warid juga bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: “Tidaklah orang mati itu di dalam kuburnya melainkan seperti orang yang kelemasan memohon pertolongan. Dia menunggu datangnya doa-doa kepadanya daripada anaknya atau saudaranya atau temannya. Apabila diterimanya (doa-doa tersebut), maka ianya adalah sesuatu yang terlebih kasih baginya daripada dunia dan segala isinya (yakni menerima hadiah berupa doa adalah lebih disukai si mati daripada memperolehi dunia dan segala isinya).

Allahu … Allah, moga kita tidak lupa berbakti kepada mereka-mereka yang telah pergi dahulu. Perhatikanlah pesanan Imam al-Haddad rahimahUllah:-

Dan janganlah seseorang itu lupa mendoakan kaum kerabatnya yang telah meninggal dunia serta mengucapkan istighfar memohon keampunan mereka serta bersedekah bagi pihak mereka. Jika dia melupakannya, maka dia juga akan dilupakan oleh anak cucunya yang datang selepasnya setelah dia mati. Jadilah apa yang berlaku kepadanya sebagaimana perlakuannya terhadap mereka yang telah pergi sebelumnya. Sesungguhnya sesiapa yang ingat akan diingat dan sesiapa yang lupa akan dilupai. Dan janganlah seseorang itu lupakan orang-orang matinya (yakni istimewanya kaum kerabatnya yang telah meninggal dunia) daripada doa-doanya, istighfarnya dan sedekahnya, lalu nanti dia akan dilupakanSesiapa yang ingat akan diingat; Dan sesiapa yang lupa akan dilupa”. Dan kebaikan itu pasti akan diberi balasan baik, Allah tidak akan mensia-siakan pahala orang yang melakukan kebaikan.
Maka jika kita ingin agar anak-cucu kita nanti sering ingatkan kita dalam doa dan amalan mereka, maka sewajarnya kita hendaknya ingat akan leluhur kita dan mereka-mereka yang telah mendahului kita kembali ke rahmat yang Maha Esa.

***************************************

http://bahrusshofa.blogspot.com/

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: