Jubb al-Huzn (salah Satu wadi di neraka Jahannam)

Jubb al-Huzn

Alhamdulillah, dengan nikmat dan inayahNya serta keizinanNya dapat kita mengakhiri Ramadhan kita dengan melakukan berbagai ketaatan. Bersempenakan Ramadhan bulan di mana segala kitab suci diturunkan termasuklah al-Quran, maka amalan bertadarus dan mengkhatamkan al-Quran lazim dijadikan amalan. Junjungan Nabi s.a.w. pun dikhabarkan pada malam-malam Ramadhan akan bertadarus dengan malaikat Jibril, tapi ini tidaklah bermakna yang Junjungan Nabi s.a.w. hanya mengkhatamkan al-Quran hanya di bulan Ramadhan sahaja. Sewaktu mengkhatamkan al-Quran kita disunnatkan untuk memperbanyakkan doa kerana saat itu adalah antara saat yang mustajab berdoa serta doa pada waktu itu turut diaminkan oleh 4000 malaikat sebagaimana diriwayatkan oleh Imam ad-Darimi dengan isnadnya daripada Humaid al-A’raj.

Keutamaan membaca al-Quran sudah umum diketahui, bahkan ianya dianggap sebagai zikir tak berwaktu yang paling afdhal. Akan tetapi sayogia diingat bahawa segala amalan hendaknya dilakukan dengan penuh ikhlas, jauh dari riya`, sum`ah dan ‘ujub. Bagi para qurra` yang tidak ikhlas maka Junjungan Nabi s.a.w. telah memberi amaran akan azab yang pedih menunggu mereka. Antaranya ialah siksaan yang maha dahsyat di satu tempat di neraka Jahannam yang dipanggil Jubbul Huzn.

Imam Abu ‘Abdullah Muhammad bin Abu Bakar al-Anshari al-Qurthubi (w. 627H) dalam karyanya “at-Tadzkaar fi Afdhalil Adzkaar” menukilkan beberapa hadits Junjungan Nabi s.a.w. berkenaan dengan Jubbul Huzn ini. Antaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi r.a. daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawa Junjungan Nabi s.a.w. berdoa:- “Kami berlindung dengan Allah dari Jub al-Huzn”. Para sahabat bertanya kepada Junjungan s.a.w.: “Wahai Junjungan Rasulullah, apakah itu Jubb al-Huzn?” Junjungan s.a.w. menjawab: “Satu wadi di neraka Jahannam yang mana neraka Jahannam sendiri memohon perlindungan Allah darinya setiap hari 100 kali.” Junjungan s.a.w. ditanya lagi: “Wahai Junjungan Rasulullah, siapakah yang akan memasukinya?” Junjungan Nabi s.a.w. menjawab: “Para qari` yang riya` dengan amalan-amalan mereka.”

Satu riwayat pula dikeluarkan oleh Imam Ibnu Majah daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: “Hendaklah kamu memohon perlindungan Allah daripada Jubb al-Huzn.” Para sahabat bertanya: ” Wahai Junjungan Rasulullah, apakah itu Jubb al-Huzn?” Junjungan Nabi s.a.w. menjawab: “Satu wadi di neraka Jahannam di mana neraka Jahannam memohon perlindungan Allah darinya setiap hari 400 kali.” Junjungan s.a.w. ditanyai lagi: “Siapkah yang bakal memasukinya?” Junjungan Nabi s.a.w. menjawab: “Ianya disediakan Allah bagi para qari` yang riya` dengan amalan-amalan mereka, dan sesungguhnya qari yang paling dimurkai Allah ialah yang mendatangi para pemerintah (yakni pemerintah yang zalim dan dengan tujuan mencari hasil duniawi dengan menggadaikan ayat-ayat Allah).”

Maka hendaklah kita mengambil pengajaran dari sabdaan Junjungan kita s.a.w. ini. Beramal biarlah ikhlas, kalau masih belum boleh, maka hendaklah diusahakan. Penyakit-penyakit hati seumpama riya` ini terlalu amat bahaya dan terlebih besar mudaratnya dari segala penyakit dunia. Seteruk-teruk penyakit dunia hanya kematian akibatnya, tapi penyakit-penyakit hati akan menjadi sebab penderitaan yang berpanjangan, kalaupun tidak berkekalan, di neraka, na`udzubillah min dzalik. Kehidupan kita di atas dunia yang fana ini hendaklah diberi perhatian yang sungguh-sungguh untuk melaksanakan segala titah – perintah Allah s.w.t. Kehidupan duniawi ini terlalu amat penting untuk dipersia-siakan dan dilumur dengan dosa kederhakaan dan maksiat kepada Allah. Pentingnya fasa umur dunia ini kerana ianya adalah penentu bagi kebahagiaan di sana nanti.

*****************************************************

Doa khatam yang biasa dibaca oleh guru kami almarhum Mawlana ‘Abdul Lathif al-Hafiz Kadayanalur setiap kali khatam Tafsir al-Baidhawi. Moga Allah sentiasa mencucuri hujan rahmat dan kasihan belas buat beliau serta menempatkannya bersama para sholihin. Allahumma aamiin. al-Fatihah.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: