KALAMULLAH

KALAMULLAH

Kalamullah atau kata-kata Allah adalah Qadim (azali/tanpa permulaan) sebagaimana sifat-sifatNya yang lain kerana Allah tidak serupa dengan segala makhlukNya.

Tidak berlaku atau tidak wujud bagi dzat Allah bersifat dengan sifat yang baharu kerana dzatNya qadim. Maka sifatNya juga wajiblah qadim sepertimana dzatnya. Oleh yang demikian kalamullah bukanlah terdiri dari huruf, suara mahupun bahasa, tiada permulaan dan tiada pengakhiran kerana kesemua itu adalah sifat makhluk. Allah tidak dikatakan “ sebut ” bahkan dikatakan “berkata-kata” kerana berkata-kata bukan semestinya dengan huruf dan suara. “ Sebut ” lebih menjuruskan kepada perkataan yang terangkum dari huruf dan suara.

Al-Quran, Taurat, Injil, Zabur dan suhuf-suhuf sekiranya diertikan atau merujuk kepada kalam dzaatiy iaitu sifat bagi Allah maka ianya bukanlah huruf, suara atau bahasa. Sekiranya ia merujuk kepada kalam yang diturunkan atau lafaz yang diturunkan (lafzul munazzal) yang sebahagiannya berbahasa Arab, Suryani atau ‘Ibrani maka ianya adalah makhluk. Namun begitu, ini bukanlah bermakna ianya ciptaan atau rekaan manusia mahupun malaikat. Ianya merupakan ‘ibarat yang menunjukkan kepada kalam dzaatiy yang tidak disifatkan sebagai berbahasa Arab dan lain-lain. Walaupun demikian keduanya tetap disebut Kalamullah.

Berdasarkan kepada apa kenyataan di atas ini menunjukkan bahawa di sana terdapat dua istilah ‘ Kalamullah’ :

Pertama : Istilah yang merujuk kepada Kalam Dzaatiy maka ianya bukanlah suara, huruf mahupun bahasa, azali dan abadi.

Kedua : Istilah kepada (lafzul munazzal) kalam yang diturunkan yang dibaca oleh orang Islam, ianya terdiri dari huruf dan bahasa, ada permulaan dan pengakhiran.

Merujuk kepada istilah yang kedua (lafzul munazzal), ianya datang dari Allah juga, bukanlah rekaan malaikat mahupun Nabi. Allah memerintahkan Malaikat Jibril mengambil apa yang tercatat di Lauhul Mahfuz untuk diturunkan kepada nabi-nabiNya. Maka Jibril menurunkan seperti mana yang diperintahkan oleh Allah kepada nabi-nabi yang diberikan kitab contohnya Nabi Muhammad. Jibril membacanya iaitu al-Quran dengan huruf dan suara dalam Bahasa Arab yang didengar oleh Nabi Muhammad, kemudian Nabi pula membacanya kepada para sahabat sehinggalah sampai kepada kita sekarang.

Berlainan pula di hari kiamat kelak setiap manusia akan mendengar kalamullah yang azali abadi yang bukan huruf, suara dan bahasa dimana mereka memahami setiap perkara yang diajukan oleh Allah.

Contoh untuk lebih mudah difahami seperti berikut :-

Lafaz atau kalimah ALLAH merupakan ibarat kepada ‘ Dzat Tuhan Yang Azali lagi Abadi ‘, Yang Maha Suci lagi Maha Agung yang mempunyai segala sifat kesempurnaan. Apabila kita sebut “ kami sembah Allah ” maka maksudnya seperti di atas.

Apabila kita tuliskan atas white board perkataan “Allah” sebagai contoh, lalu kita soal seseorang; “ apakah ini ? ” Pasti dijawab ; “Allah”. Jawapan ini bermakna kalimah Allah tersebut merupakan ‘ibarah (menunjukkan) kepada Dzat Allah Yang Azali Abadi yang disembah, bukannya perkataan atau huruf itu sendiri ialah Allah.

Golongan muktazilah dihukum kafir oleh Ahli Sunnah Wal Jama’ah kerana mereka beriktikad Allah tidak bersifat dengan sifat Kalam atau dalam erti kata lain mereka menafikan sifat tersebut. Inilah yang disebutkan sebagai Ahli Ta’til. Mereka berkata Allah menciptakan kalam pada yang lain. Seperti kisah Nabi Musa mereka mengatakan ‘ Allah ciptakan kalam pada sepohon pokok, maka pokok tersebutlah yang berkata-kata dengan Nabi Musa. Allah tidak bersifat dengan sifat Kalam ’…wal’iyaazubillaah !

Golongan musyabbihah (menyamakan Allah dengan makhluk) pula kafir kerana beriktikad Kalamullah ada suara, huruf dan bahasa. Sekiranya demikian samalah dengan manusia, jika sama maka sudah tentulah sifatNya baharu seperti kita juga. Natijah daripada iktikad tersebut bermakna bukanlah Allah pencipta kalam kita yang ada sekarang yang bersuara, huruf dan bahasa. Ini adalah iktikad yang batil lagi sesat.

Oleh yang demikian, barangsiapa mengatakan al-Quran yang ada sekarang di dalam mushaf sebagai makhluk, tidaklah kafir tetapi haram. Ianya tetap ditegah kerana dibimbangi berlaku salah faham lalu ada yang beriktikad Kalamullah yang merupakan sifat bagi Allah itu adalah makhluk. Adapun di dalam majlis ilmu tidak mengapa kerana ianya dihuraikan secara terperinci untuk penjelasan dan kefahaman. Sesiapa beriktikad kalamullah yang merupakan sifat bagi Allah adalah makhluk, hukumnya kafir. Sebaiknya berkata : “Al-Quran Kalamullah bukan makhluk ”.

Carta Kalamullah

Dalil bahawa al-Quran diistilahkan kepada kalam yang diturunkan ialah firman Allah dalam Surah al-Fath, ayat 15 :


يريد أن يبدلوا كلام الله

š

Maksudnya: “ Mereka (iaitu orang kafir) hendak mengubah Kalamullah “.

Maksud ayat ini ialah orang kafir hendak mengubah al-Quran yang diturunkan ini iaitu Lafzul Munazzal bukannya mengubah Kalamullah yang merupakan Sifat Dzaatiy bagi Allah. Wallahu A’alam Wa Ahkam

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: