Habib Taufiq as-Saqqaf Pengasuh : Radio dan Majalah Suara Nabawiy

Habib Taufiq as-Saqqaf

Habib Taufiq bin ‘Abdul Qadir bin Husein as-Saqqaf @ as-Segaf, adalah seorang da’ie kondang yang berasal dari kota santri, Pasuruan, Jawa Timur. Beliau dilahirkan dalam tahun 1969. Sejak kecil, beliau telah menerima sebaik-baik asuhan dan didikan agama daripada ayahanda beliau, Habib ‘Abdul Qadir as-Saqqaf rahimahullah, yang merupakan murid kepada Habib Muhammad bin Hadi as-Saqqaf, murid Shohibul Mawlid, Habib ‘Ali al-Habsyi. Begitulah seterusnya didikan yang diperolehinya melalui majlis-majlis ta’lim dan berguru langsung dengan tokoh-tokoh ulama dan awliya’ yang terkenal di Kota Pasuruan dan di luarnya. Antara yang menjadi guru langsung beliau adalah Habib Ahmad bin Hadi al-Hamid dan Habib ‘Umar bin Hasyim Ba’Agil, Surabaya.


Setelah menimba ilmu pengetahuan daripada para habaib dan ulama di berbagai daerah di Pulau Jawa, maka akhirnya beliau membuka madrasahnya di Kota Pasuruan, selain dari itu, beliau turut mengelola madrasah yang pernah diasuh oleh ayahandan dan datuk beliau, Habib Ja’far bin Syaikhan. Pada tahun 2003, beliau mengambil inisiatif untuk menaiktarafkan madrasahnya tersebut menjadi sebuah pondok pesantren yang menggunakan sistem halaqah dan mengkaji kitab-kitab salaf (baca: Ahlus Sunnah wal Jama’ah). Pondok Pesantren tersebut didirikannya di Jalan Sidogiri, KM1, Kraton, Pasuruan dan dinamakannya Pondok Pesantren Sunniyah Salafiyah. Pesantrennya kini telah berkembang pesat dengan sekitar 30 cawangan madrasah dan 13 pondok pesantren di berbagai daerah antaranya, Jawa, Bali dan Kalimantan.


Selain mengasuh madrasah dan pesantren serta majlis-majlis ta’lim, Habib Taufiq, turut turun gelanggang untuk berdakwah terus kepada massa umum termasuklah di tempat-tempat minoriti umat Islam seperti di Sampit, Bali, Tengger dan lain-lain. Bahkan, beliau turut menjadikan tempat-tempat tersebut sebagai sasaran dakwahnya dan sering mengirim santri-santrinya ke sana untuk berdakwah dan mendampingi masyarakat yang masih belum memeluk agama Islam ataupun yang baharu memeluk agama Islam. Selain daripada itu, beliau turut mempelbagaikan cara dakwahnya dengan mengadakan stesyen radio Islami yang dinamakannya Radio Suara Nabawiy. Melalui siaran radio tersebut, dakwahnya semakin luas jangkauannya ke masyarakat umum di pelbagai daerah. Beliau juga turut menerbitkan “Cahaya Nabawiy“, sebuah majalah dakwah Islami.

Walaupun mempunyai jadual dakwah yang ketat, Habib Taufiq tetap meluangkan masa beliau untuk mengasuh majlis ta’lim yang sudah berlangsung turun-temurun daripada datuknya, Habib Ja’far bin Syaikhan dan kemudian diasuh oleh ayah beliau, Habib ‘Abdul Qadir. Majlis ta’lim ini amat terkenal di Kota Pasuruan, dan diikuti oleh bukan sahaja masyarakat Pasuruan, bahkan juga masyarakat sekitarnya. Teks rasmi majlis ta’lim ini adalah kitab “Ihya’ Ulumiddin” karya Hujjatul Islam al-Ghazali r.a., di mana ianya dibaca dan dikaji untuk diamalkan.

Sungguhpun tidak pernah mengecap pendidikan sekolah secara formal, ilmu dan dakwah beliau mengkagumkan … Allahu … Allah. Yang ada Phd dalam bidang dakwah pun belum tentu dapat menjalankan dakwah sebagaimana yang beliau lakukan. Sungguh benih yang baik elok, jika dicampak ke laut kan jadi pulau, dicampak ke darat menjadi gunung. Itu kalau main campak-campak, apatah lagi jika ianya sememangnya disemai elok-elok. Moga Allah sentiasa memberikan inayah dan rahmatNya kepada Habib Taufiq as-Segaf, memberikan beliau istiqamah atas jalan ilmu dan dakwah para salafush sholeh serta memberikan husnul khatimah sebagai hasanatan fid dunya buat beliau sebelum meraih hasanatan fil akhirah… Allahumma aamiin …. bi sirril-Fatihah.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 437 other followers